BRUSSELS, 3 JAN – Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan ke atas syarikat perlombongan berlian terbesar di dunia dan ketua pegawai eksekutifnya hari ini sebagai sebahagian daripada apa yang dipanggil ‘komitmen tidak berbelah bahagi’ terhadap Ukraine dalam perang menentang Rusia.
Langkah itu menyasarkan Alrosa, yang menyumbang kira-kira 90 peratus daripada pengeluaran berlian Rusia, dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pavel Marinychev.
Ibu pejabat EU berkata syarikat itu ‘merupakan bahagian penting dalam sektor ekonomi yang menyumbang hasil pendapatan yang besar’ kepada Moscow.
Ini bermakna aset Alrosa di Eropah akan dibekukan dan warga EU serta syarikat akan dihalang daripada menyediakan dana kepada syarikat itu. Marinychev, yang dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Mei lalu selama tiga tahun, juga menghadapi larangan perjalanan di Eropah.
EU telah pun mengharamkan import, pembelian atau pemindahan berlian asli dan sintetik bukan perindustrian Rusia dan barang kemas berlian mulai 1 Januari. Langkah itu membabitkan berlian yang berasal dari Rusia, dieksport dari Rusia, transit melalui Rusia dan berlian Rusia yang diproses di tempat lain.
Blok 27 negara itu kini telah mengenakan sekatan ke atas hampir 1,950 orang dan ‘entiti’, yang selalunya terdiri daripada syarikat, bank atau agensi kerajaan, atas apa yang dikatakan sebagai ‘tindakan yang menjejaskan atau mengancam integriti wilayah, kedaulatan dan kemerdekaan Ukraine.’ – AP
