Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU sepakat larang import minyak Rusia

    BRUSSELS, 31 MEI – Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersepakat mengenakan larangan terhadap import minyak dari Rusia, selepas berjaya mencapai perjanjian dengan Hungary yang sebelum ini menentang tindakan yang dianggap sebagai hukuman terhadap Moscow kerana mencetuskan perang di Ukraine.

    Kesatuan yang dianggotai 27 ne-gara itu menghabiskan masa berminggu-minggu termasuk mengadakan rundingan ‘tawar-menawar’ mengenai cadangan sekatan keseluruhan terhadap produk minyak Rusia, tetapi mendapat tentangan Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban.

    Pemimpin EU yang bermesyuarat sempena Sidang Kemuncak Khas mengenai Ukraine di sini, bagaimanapun mencapai kesepakatan perjanjian untuk mengecualikan penghantaran bahan api menerusi saluran paip daripada larangan berkenaan.

    “Persetujuan dicapai untuk melarang eksport minyak Rusia ke EU. Ini serta-merta meliputi lebih dua pertiga daripada import minyak Rusia sekali gus mengurangkan sumber besar pembiayaan untuk peralatan perangnya,” kata Ketua Majlis Eropah, Charles Michel menerusi Twitter semasa sidang kemuncak itu.

    Sementara itu, Presiden Suruhanjaya EU, Ursula von der Leyen, berkata langkah itu akan mengurangkan secara efektif kira-kira 90 peratus import minyak dari Rusia ke negara EU menjelang akhir tahun ini. – AFP

    Ursula von der Leyen (kanan) dan Charles Michel beredar selepas sidang media semasa mesyuarat khas Majlis Eropah di Bangunan Majlis Eropah di Brussels kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda