BRUSSELS, 28 JAN – Menteri luar Kesatuan Eropah (EU), kelmarin, bersetuju untuk mula melonggarkan sekatan ke atas Syria selepas penyingkiran Bashar al-Assad, ketika Barat berusaha untuk membina jambatan dengan kepimpinan baharu negara yang dilanda perang itu.
“Ini boleh memberi rangsangan kepada ekonomi Syria dan membantu negara itu bangkit semula,” kata ketua hal ehwal luar, Kaja Kallas selepas mesyuarat di Brussels.
Sebanyak 27 negara EU mengenakan sekatan yang meluas ke atas kerajaan Assad dan ekonomi Syria semasa perang saudaranya.
Kallas berkata, para menteri telah menandatangani ‘peta jalan’ untuk menarik balik sekatan bermula dengan sektor utama seperti tenaga di mana bantuan amat diperlukan dengan segera.
“Walaupun kami berhasrat untuk bergerak pantas, kami juga bersedia untuk membalikkan keadaan jika situasi bertambah buruk, di samping akan meningkatkan usaha bantuan kemanusiaan dan pemulihan,” katanya.
Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, berkata EU boleh bermula dengan menggantung sekatan ke atas sektor tenaga, pengangkutan dan perbankan.
Eropah berminat untuk membantu pembinaan semula Syria dan membina hubungan yang lebih baik dengan pemerintah baharunya selepas tamatnya pemerintahan 50 tahun keluarga Assad.
Tetapi beberapa negara EU bimbang untuk mengalu-alukan pemerintah baharu pimpinan Islam di Damsyik dengan segera. – AFP