BRUSSELS, 7 FEB – Kesatuan Eropah (EU) kelmarin mengarahkan platform fesyen dalam talian, Shein, untuk menyerahkan maklumat mengenai risiko berkaitan produk haram di laman webnya, sekali gus membuka laluan bagi siasatan kedua ke atas syarikat itu.
Suruhanjaya Eropah mengumumkan permintaan itu sehari selepas mengesahkan siasatan terhadap platform e-dagang berasaskan kos rendah itu kerana didakwa melanggar peraturan perlindungan pengguna blok berkenaan.
Menurut kenyataan, EU meminta Shein menyerahkan dokumen dalaman serta maklumat terperinci berhubung kandungan dan barangan tidak sah di pasaran mereka.
Selain itu, Shein juga dikehendaki menjelaskan aspek ketelusan sistem cadangan produknya serta perlindungan data peribadi pengguna.
“Shein perlu menyerahkan maklumat yang diminta sebelum 27 Februari. Berdasarkan penilaian terhadap maklum balas yang diterima, Suruhanjaya akan menentukan langkah seterusnya,” menurut kenyataan itu.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/2B-WEB-AFP-1.jpg)
Permintaan tersebut berpotensi membawa kepada siasatan di bawah Akta Perkhidmatan Digital (DSA) EU, yang mewajibkan syarikat teknologi utama untuk mempertingkat perlindungan terhadap pengguna dalam talian.
Brussels telah pun melancarkan penyiasatan berasingan terhadap laman web fesyen cepat popular itu, yang diasaskan di China pada tahun 2012 dan kini ribuan pejabat di Singapura, kerana gagal melakukan usaha yang cukup untuk menghalang penjualan produk yang tidak memenuhi piawaian Eropah.
Selepas pengumuman penyiasatan itu, syarikat tersebut berkata ia akan ‘bekerjasama’ dengan rakan kongsi mereka di peringkat EU dan kerajaan negara.
Selain Shein, platform e-dagang Temu yang berpangkalan di China turut disiasat oleh Suruhanjaya Eropah pada Oktober lalu berhubung isu keselamatan produk.
Suruhanjaya pada Oktober lalu membuka siasatan terhadap Temu, yang menjual pelbagai barang dengan kos rendah. Seorang jurucakap suruhanjaya berkata, ujian mendapati banyak produk yang dijual tidak mematuhi peraturan dan piawaian keselamatan EU.
Antara contoh produk yang dikhuatiri membahayakan pengguna termasuk puting anak damit yang boleh tercabut dan menyebabkan risiko tercekik serta alat pencahayaan yang boleh mengakibatkan kejutan elektrik. – AFP