Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU sokong umur minimum akses media sosial

    BRUSSELS, 24 OKT – Para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan had umur minimum bagi akses ke platform media sosial, namun menegaskan bahawa mereka tidak berhasrat menyerahkan kuasa kawalan isu itu kepada Brussels, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    “Majlis Eropah menekankan kepentingan melindungi golongan bawah umur, termasuk melalui penetapan umur dewasa secara digital bagi akses ke media sosial, dengan menghormati bidang kuasa negara masing-masing,” menurut kenyataan yang diterima selepas sidang kemuncak EU di Brussels pada Khamis.

    Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen sebelum ini mencetuskan perdebatan semula berhubung isu itu dengan cadangan supaya EU memperkenalkan had umur minimum penggunaan media sosial di seluruh blok berkenaan.

    Sekumpulan pakar dijangka mengemukakan syor mengenai pendekatan terbaik sebelum akhir tahun ini. 

    Jurucakap suruhanjaya berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk melindungi kanak-kanak dalam talian.

    Von der Leyen membandingkan pelaksanaan had umur bagi media sosial dengan sekatan terhadap penggunaan tembakau dan alkohol. Beliau turut merujuk kepada Australia yang meluluskan undang-undang pada November 2024 bagi mengehadkan akses media sosial kepada kanak-kanak dan remaja. 

    Di bawah peraturan baharu itu, hanya pengguna berumur 16 tahun ke atas dibenarkan menggunakan platform berkenaan dan langkah itu dijangka dikuat kuasa pada Disember ini.

    Suruhanjaya Eropah kini sedang membangunkan asas teknikal untuk pelaksanaan sekatan umur, termasuk aplikasi pengesahan yang bertujuan melindungi golongan bawah umur daripada kandungan tidak sesuai untuk kanak-kanak. – Bernama/dpa

    Ursula von der Leyen berucap semasa sidang media pada penutupan Sidang Kemuncak EU di Brussels kelmarin. Ramai anggota EU setuju umur minimum guna media sosial. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda