Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU tamat jualan enjin pembakaran

    LUXEMBOURG, 29 JUN – Kesatuan Eropah (EU) meluluskan untuk menamatkan penjualan kenderaan dengan enjin pembakaran menjelang 2035 di Eropah dalam usaha mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) kepada sifar, menurut pengumuman yang dikeluarkan kesatuan itu kelmarin.

    Cadangan tersebut dibangkitkan pada Julai 2021 dan keputusan ini bermakna pemberhentian ke atas penjualan kenderaan petrol dan diesel serta peralihan sepenuhnya kepada enjin elektrik di EU akan dilaksanakan mulai 2035.

    Langkah itu antara lain bertujuan bagi membantu mencapai objektif iklim benua, khususnya neutraliti karbon menjelang 2050.

    Atas permintaan negara-negara termasuk Jerman dan Itali, EU juga bersetuju bagi mempertimbangkan penggunaan teknologi alternatif seperti bahan api sintetik atau hibrid plug-in jika mereka boleh mencapai penghapusan pelepasan gas rumah hijau sepenuhnya di masa hadapan.

    Mesyuarat menteri-menteri alam sekitar di Luxembourg turut meluluskan lanjutan tempoh lima tahun pengecualian daripada obligasi CO2 yang diberikan kepada pengilang yang dipanggil niche, atau mereka yang membuat pengeluaran kereta kurang daripada 10,000 buah kenderaan setahun, sehingga akhir 2035.

    Klausa yang kadangkala dirujuk sebagai ‘pindaan Ferrari’ itu akan memberi manfaat kepada jenama-jenama mewah khususnya.

    Susulan itu, langkah-langkah tersebut kini mesti dirundingkan dengan ahli-ahli Parlimen Eropah.

    “Ini ialah cabaran besar bagi industri automotif kami,” akui Menteri Peralihan Ekologi Perancis, Agnes Pannier-Runacher, yang mempengerusikan mesyuarat tersebut kelmarin. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda