Wednesday, April 16, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU tambah 50 bilion Euro untuk Ukraine

    BRUSSELS, 20 JUN – Brussels hari ini meminta negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU) untuk menyediakan tambahan 50 bilion euro bagi menyokong Ukraine dalam tempoh empat tahun akan datang, sebagai sebahagian daripada rangsangan kepada belanjawan blok itu.

    “Rizab kewangan ini akan membolehkan kami benar-benar menentukur sokongan kewangan kami mengikut evolusi keadaan di lapangan,” kata Ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.

    Cadangan daripada Suruhanjaya Eropah, cabang eksekutif EU, bertujuan bagi membantu menyokong kewangan Kyiv dan menampung kos pembinaan semula segera yang disebabkan oleh perang Rusia.

    Wang itu, yang terdiri daripada geran dan pinjaman, adalah sebahagian daripada semakan untuk menutup jurang dalam belanjawan EU untuk tempoh 2024-2027 yang ditinggalkan akibat pandemik COVID dan konflik.

    Jumlahnya setiap tahun lebih sedikit berbanding 18 bilion euro yang dijanjikan oleh EU untuk perbelanjaan kerajaan Ukraine pada tahun 2023.

    Secara keseluruhannya, EU telah memberikan 30 bilion euro daripada bajetnya untuk menyokong negara itu sejak serangan penuh Rusia pada Februari 2022.

    Wang untuk Ukraine dijangka bergantung kepada pembaharuan untuk mengukuhkan badan kehakimannya dan menangani rasuah yang bertujuan untuk merangsang Kyiv di sepanjang laluan untuk menyertai EU.

    Cadangan itu dibuat menjelang persidangan penderma utama di London minggu ini mengenai pembayaran untuk pemulihan semula Ukraine. – AFP

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda