BRUSSELS, 27 MEI – Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) hari ini memberikan kelulusan terhadap penangguhan ke atas pembuat kereta Eropah berhubung sasaran pelepasan karbon (CO2) baharu, ketika mereka berusaha mengimbangi matlamat iklim dengan sokongan untuk industri utama yang sedang bergelut.
Mulai tahun ini, EU mengurangkan purata pelepasan CO2 yang dibenarkan oleh kenderaan baharu yang dijual di blok 27 buah negara, dengan denda yang tinggi jika pengeluar kereta gagal mematuhinya.
Pembuat kereta telah menyatakan kebimbangan mereka tidak akan dapat memenuhi sasaran kerana jualan kenderaan elektrik yang tidak memberangsangkan.
Negara anggota hari ini menerima pakai cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Eropah pada Mac yang membolehkan syarikat mematuhi sasaran dengan purata pelepasan CO2 mereka selama tiga tahun dari 2025 hingga 2027, bukannya setiap tahun.
Ini bermakna mereka tidak akan didenda sekiranya gagal mencapai sasaran 2025 menjelang 31 Disember tahun ini.
“Perubahan itu bertujuan untuk memberikan pengeluar kereta fleksibiliti yang diperlukan untuk memenuhi sasaran pelepasan mereka,” kata Majlis EU, badan yang mewakili negara anggota.
Pindaan itu akan berkuat kuasa selepas diterbitkan dalam jurnal rasmi EU.
Brussels telah menjadikan satu keutamaan untuk menyokong perniagaan dan menyusun semula ekonomi ketika menghadapi persaingan sengit dari Amerika Syarikat (AS) dan China.
Sektor automotif adalah permata perindustrian Eropah, menggaji kira-kira 13 juta orang dan menyumbang kira-kira tujuh peratus kepada ekonomi EU.
Namun dengan penutupan kilang di Eropah dan tarif yang dikenakan Presiden AS, Donald Trump mengancam menjejas sistem perdagangan global, industri berkenaan berdepan risiko yang semakin meningkat. – AFP


