KUALA LUMPUR, 20 DIS – Majlis Kesatuan Eropah (EU) secara rasmi menerima penangguhan pelaksanaan peraturan penyahhutanan EU selama setahun.
Ia berkata penangguhan ini akan membolehkan negara ketiga, negara anggota, pengendali dan peniaga bersedia sepenuhnya dari segi kewajipan usaha wajar mereka, bagi memastikan komoditi dan produk tertentu yang dijual di EU atau dieksport dari EU adalah bebas daripada proses penyahhutanan.
“Ini termasuk produk yang bersumberkan ternakan, kayu, koko, soya, minyak sawit, kopi, getah dan beberapa produk terbitan mereka,” kata majlis itu dalam satu kenyataan yang diterbitkan dalam laman webnya.
Majlis itu berkata penerimaan penangguhan ini merupakan langkah terakhir dalam prosedur perundangan biasa.
Peraturan itu seterusnya akan ditandatangani dan diterbitkan dalam Jurnal Rasmi EU agar ia dapat dikuatkuasakan sebelum akhir tahun, katanya.
Menurut majlis itu, peraturan penyahhutanan telah dikuatkuasakan sejak 29 Jun tahun lepas dan akan diguna pakai bermula 30 Disember 2024.
Bagaimanapun, susulan penangguhan tersebut ia akan mula digunakan pada 30 Disember 2025.
“Langkah ini akan memberi lebih kejelasan dari segi undang-undang dan masa yang secukupnya untuk pelaksanaan peraturan yang lancar dan berkesan,” katanya. – Bernama


