NEW DELHI, 28 FEB – Kesatuan Eropah (EU) sedang meneroka perkongsian keselamatan dan pertahanan dengan India, kata Ketua EU, Ursula von der Leyen hari ini sebelum bertemu dengan Perdana Menteri, Narendra Modi di New Delhi.
Von der Leyen tiba di India kelmarin untuk lawatan dua hari bersama anggota pesuruhjayanya yang berusaha mengelak hubungan dengan sekutu tradisinya, Amerika Syarikat (AS) daripada bertambah buruk.
Lawatan itu bertujuan memperdalam hubungan diplomatik dan perdagangan dengan ekonomi kelima terbesar dunia itu selepas Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan lebih banyak tarif dikenakan ke atas rakan dan musuh.
EU juga berharap untuk mencari titik persamaan dengan India mengenai kebimbangan bersama mereka terhadap pengaruh China yang semakin meningkat di Asia-Pasifik, membina rantaian bekalan yang berdaya tahan serta tadbir urus teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan.
“Saya ingin menyatakan bahawa kami sedang meneroka perkongsian keselamatan dan pertahanan masa depan dengan India dalam perkongsian yang kami telah dijalin dengan Jepun dan Korea Selatan,” kata Ketua EU itu dalam ucapan awam di ibu negara India hari ini.
“Ini akan membantu meningkatkan usaha kami untuk memerangi ancaman biasa, sama ada mengenai keganasan rentas sempadan, ancaman keselamatan maritim, serangan siber atau fenomena baharu yang kami lihat iaitu serangan ke atas infrastruktur penting kami,” tambahnya.
EU ialah rakan dagangan terbesar India, menyumbang 124 bilion euro (AS$130 bilion) nilai perdagangan barangan pada 2023 – lebih 12 peratus daripada jumlah perdagangan India, menurut Brussels. – AFP
