BRUSSELS, 17 OKT – Kesatuan Eropah (EU) kelmarin mencapai perjanjian bagi melaksanakan satu program untuk mengukuhkan industri pertahanannya, dengan peruntukan awal sebanyak 1.5 bilion euro (AS$1.8 bilion) bagi meningkatkan rantaian pengeluaran dan bekalan, menurut Majlis EU.
Perkembangan itu, hasil rundingan panjang, meletakkan blok tersebut di landasan tepat untuk memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan, serta berhasrat ‘menyokong kerjasama industri pertahanan dengan Ukraine,’ menurut kenyataan badan yang mewakili negara anggota itu.
Bajet berjumlah 1.5 bilion euro bagi Program Industri Pertahanan Eropah (EDIP), yang disediakan dalam bentuk geran, meliputi tempoh 2025 hingga 2027, menurut perjanjian yang dicapai bersama Parlimen Eropah.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menyambut baik berita tersebut sebagai satu langkah penting untuk memastikan EU bersedia dari segi pertahanan menjelang 2030.
Rundingan mengenai EDIP sebelum ini sering dibelenggu oleh isu sama ada wajar atau tidak memberikan keutamaan kepada peralatan, senjata dan peluru buatan Eropah.

Beberapa negara EU mahu menggunakan program tersebut untuk membiayai pembelian peralatan dari luar blok, terutamanya dari Amerika Syarikat.
Kompromi yang dicapai mengehadkan nilai komponen buatan luar EU atau negara rakan seperti Norway kepada 35 peratus daripada jumlah pelaburan.
“EDIP akan menarik balik amalan import yang lama di Eropah, bagi menyokong secara konkrit peningkatan keupayaan industri kami,” kata salah seorang Ahli Parlimen Eropah yang terlibat, Francois-Xavier Bellamy.
Ketika ini, EU memperoleh lebih 60 peratus peralatan dan sistem ketenteraan dari luar blok, terutamanya dari Amerika Syarikat. Brussels mahu mengurangkan peratusan itu kepada 45 peratus.
Sementara itu, sebanyak 300 juta euro daripada bajet awal EDIP akan disalurkan kepada kerjasama pertahanan dengan Ukraine.
Parlimen Eropah turut memaklumkan bahawa pembiayaan tambahan akan diperoleh daripada negara bukan EU yang mahu menyertai EDIP, termasuk Britain dan Kanada. – AFP






