KUALA LUMPUR, 26 SEPT – Rundingan berhubung perjanjian perdagangan bebas antara Kesatuan Eropah (EU) dengan Malaysia, Thailand dan Filipina sedang ‘berjalan dengan sangat baik’, kata Pesuruhjaya Perdagangan EU kelmarin ketika blok tersebut berusaha memperkukuh hubungan komersialnya di Asia Tenggara.
Kenyataan Maros Sefcovic itu dibuat dua hari selepas EU menandatangani perjanjian perdagangan dengan Indonesia, ekonomi terbesar rantau ini, selepas hampir sedekad rundingan.
“Pesanan saya kepada rakan-rakan di ASEAN ialah kami tidak mahu berhenti setakat ini,” kata Sefcovic kepada wartawan sebelum bertemu para menteri ekonomi ASEAN di Kuala Lumpur.
“Kami telah membuat perkembangan yang sangat baik dalam rundingan perdagangan bebas dengan Thailand, Filipina dan juga Malaysia,” tambahnya.
Brussels kini berusaha memperkukuh hubungan melangkaui rakan perdagangan tradisional dalam apa yang dilihat sebagai tindak balas strategik terhadap ketidakpastian perdagangan global dan perlindungan pasaran, terutamanya yang dicetuskan oleh dasar tarif Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Sefcovic berkata beliau berharap perjanjian perdagangan antara EU yang mempunyai 27 negara anggota dengan rakan-rakan ASEAN dapat dimuktamadkan menjelang 2027, yang akan menandakan setengah abad rundingan antara kedua-dua blok.
“Ia benar-benar akan mengukuhkan, boleh saya katakan, kepentingan hubungan kita,” ujar beliau.
Perjanjian Komprehensif Perkongsian Ekonomi Indonesia-Kesatuan Eropah telah ditandatangani pada Selasa dan dijangka dilaksanakan sepenuhnya pada Januari 2027.
Perjanjian perdagangan yang lama dinantikan itu akan membuka peluang pelaburan dalam sektor strategik seperti kenderaan elektrik, elektronik dan farmaseutikal.
Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, pada Rabu berkata Washington menjangkakan untuk memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan lebih banyak negara Asia Tenggara ‘dalam beberapa bulan akan datang’.
Namun, Greer yang berucap pada permulaan mesyuarat menteri-menteri ekonomi ASEAN itu tidak memberikan butiran lanjut atau menamakan negara yang terlibat.
Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini telah mengenakan tarif antara 10 hingga 40 peratus terhadap negara anggota ASEAN, dengan Laos dan Myanmar menghadapi kadar tertinggi, manakala Singapura dikenakan kadar asas 10 peratus. – AFP

