Saturday, May 4, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    EU tingkat tekanan terhadap aplikasi TikTok baharu

    LONDON, 23 APRIL – Kesatuan Eropah (EU) kelmarin menuntut TikTok memberikan lebih banyak maklumat tentang aplikasi baharu yang membayar pengguna untuk menonton video dan memberi amaran bahawa ia boleh mengarahkan platform perkongsian video untuk menggantung ciri ketagihan yang menimbulkan risiko kepada kanak-kanak.

    Suruhanjaya eksekutif EU 27 negara berkata, ia sedang membuka prosiding rasmi untuk menentukan sama ada TikTok Lite melanggar peraturan digital baharu blok itu apabila aplikasi itu dilancarkan di Perancis dan Sepanyol.

    Brussels meningkatkan tekanan terhadap TikTok selepas syarikat itu gagal menjawab permintaan minggu lalu untuk mendapatkan maklumat sama ada aplikasi baharu itu mematuhi Akta Perkhidmatan Digital, undang-undang menyeluruh yang berkuat kuasa tahun lalu yang bertujuan untuk membersihkan platform media sosial.

    TikTok Lite ialah versi ringkas aplikasi TikTok utama yang membolehkan pengguna memperoleh ganjaran. Mata yang diperoleh dengan menonton video, menyukai kandungan dan mengikuti pencipta kandungan kemudiannya boleh ditukar dengan ganjaran termasuk baucar Amazon dan kad hadiah di PayPal.

    “Kami kecewa dengan keputusan ini,” kata TikTok dalam satu kenyataan. “Hab ganjaran TikTok Lite tidak tersedia untuk bawah 18 tahun dan terdapat had harian untuk menonton video. Kami akan meneruskan perbincangan dengan Suruhanjaya.”

    Suruhanjaya itu mahu melihat penilaian risiko yang sepatutnya dilakukan oleh TikTok sebelum menggunakan aplikasi itu di EU. Bimbang TikTok melancarkan aplikasi tanpa menilai cara mengurangkan ‘potensi risiko sistemik’ seperti ciri reka bentuk ketagihan yang boleh mendatangkan bahaya kepada kanak-kanak.

    “Dengan penstriman video pendek dan pantas, TikTok menawarkan keseronokan dan rasa perhubungan di luar kalangan terdekat awda,” kata Pesuruhjaya Eropah, Thierry Breton, salah seorang pegawai yang mengetuai usaha blok itu untuk mengekang syarikat teknologi besar. “Tetapi ia juga datang dengan risiko yang besar, terutamanya untuk anak-anak kita, seperti ketagihan, kebimbangan, kemurungan, gangguan makan dan tahap perhatian yang rendah.”

    EU memberi TikTok 24 jam untuk menyerahkan penilaian risiko dan hingga esok untuk membantah kesnya. Sebarang perintah untuk menangguhkan ciri ganjaran aplikasi TikTok Lite boleh dikenakan seawal Khamis. – AP

    Logo TikTok dilihat pada telefon bimbit di hadapan skrin komputer yang memaparkan skrin utama TikTok pada 18 Mac 2023. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Permintaan penyaman udara melonjak di Asia

    HONG KONG, 3 MEI - Gelombang haba melampau membelenggu sebahagian Asia, sekali gus membantu menjana permintaan yang meningkat terhadap pilihan penyejukan, termasuk penyaman udara. Unit...