Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU tuntut tindakan segera atasi kanak-kanak Palestin kebuluran

    BRUSSELS, 24 SEPT – Kanak-kanak Palestin sedang mati kebuluran manakala yang terselamat berdepan risiko kecacatan seumur hidup, kata Pesuruhjaya Kesamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis Kesatuan Eropah (EU) Hadja Lahbib kelmarin sambil menggesa tindakan segera masyarakat antarabangsa, lapor Anadolu Ajansi.

    Berucap pada acara peringkat tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Seruan Bertindak untuk Kanak-kanak Palestin di Tebing Barat dan Gaza, Lahbib berkata: “Kanak-kanak ini berhak mendapat lebih daripada sekadar simpati kita. Mereka berhak mendapat tindakan, keberanian dan keazaman kita.”

    Beliau menegaskan kebuluran telah pun diisytiharkan di Bandar Gaza, sambil menyatakan bahawa sejak Januari, seramai 44,000 kanak-kanak berdepan risiko kekurangan zat makanan akut, termasuk lebih 8,000 dalam keadaan parah. Menjelang Jun tahun depan, lebih 130,000 kanak-kanak bawah lima tahun berisiko mengalami kekurangan zat makanan, dengan lebih 40,000 kes serius dijangka berlaku.

    “Kanak-kanak sedang mati kebuluran, dan mereka yang terselamat berisiko hidup dengan kecacatan seumur hidup akibat kekurangan zat makanan,” katanya.

    Beliau turut menekankan keadaan pendidikan yang kritikal, dengan hampir 660,000 pelajar di Gaza sudah kehilangan dua tahun penuh persekolahan bersemuka.

    “Di Gaza, 97 peratus sekolah telah rosak, lebih 430 diserang secara langsung sejak Oktober 2023. Di Tebing Barat, 75 sekolah telah dimusnahkan atau dirosakkan, manakala 84 lagi berada di bawah perintah perobohan,” katanya.

    Mengimbau pertemuan terkininya dengan dua remaja Palestin dari Tebing Barat yang diduduki, Lahbib berkongsi kisah mereka membesar di bawah pendudukan, bermain di tengah gas pemedih mata, menunggu berjam-jam di pusat pemeriksaan untuk ke sekolah, hidup dalam ketakutan ditangkap, serta pulang ke rumah yang dirampas peneroka.

    “Tiada kanak-kanak yang benar-benar selamat selagi pertempuran berterusan,” tegasnya sambil menggesa Israel menamatkan sepenuhnya sekatan ke atas Gaza, membenarkan akses kemanusiaan “segera dan tanpa halangan” serta membolehkan agensi PBB dan kumpulan bantuan beroperasi dengan bebas.

    Beliau juga menggesa semua pihak menghormati undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan melindungi orang awam, petugas kemanusiaan serta kanak-kanak yang terperangkap dalam konflik.

    “Sebagai anggota masyarakat antarabangsa, kita mempunyai tanggungjawab untuk melindungi hak kanak-kanak di Palestin dan di seluruh dunia,” katanya.

    Tentera Israel telah membunuh lebih 65,400 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, di Gaza sejak Oktober 2023. Serangan berterusan itu telah menjadikan wilayah berkenaan tidak boleh didiami serta membawa kepada kebuluran dan penularan penyakit. – Bernama/Anadolu

    Seorang budak membawa bekas air di kompleks kediaman Kota Hamad, Gaza kelmarin. EU gesa tindakan segera atasi kebuluran. – Gambar fail AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda