Wednesday, March 19, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    EU umum pakej bantuan AS$6.3 bilion untuk Syria

    ISTANBUL, 18 MAC – Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan pakej bantuan berjumlah €5.8 bilion (AS$6.3 bilion) untuk Syria dalam Persidangan Penderma Tahunan kesembilan yang diadakan semalam di Brussels, lapor agensi Anadolu.

    “Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa secara keseluruhan, kami menjanjikan bantuan sebanyak €5.8 bilion dalam bentuk geran dan pinjaman, termasuk €4.2 bilion dalam geran dan €1.6 bilion dalam pinjaman,” kata Pesuruhjaya EU, Dubravka Suica.

    Beliau turut menekankan bahawa EU dan negara-negara anggotanya kekal sebagai penyumbang terbesar, menyumbang 80 peratus daripada jumlah geran yang dicagarkan.

    “Selain geran, institusi kewangan antarabangsa dan penderma turut mengumumkan pinjaman konsesi berjumlah €1.6 bilion,” katanya.

    Suica turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang berusaha mengumpulkan sumber dan mencari jalan untuk menyokong Syria serta negara-negara jiran yang menampung pelarian Syria.

    “Sumbangan awda menegaskan sokongan kuat dan berterusan daripada masyarakat antarabangsa untuk rakyat, termasuk pelarian Syria, negara tuan rumah dan komuniti penerima dalam tempoh perubahan kritikal bagi Syria ini,” katanya.

    Beliau juga menyifatkan kejatuhan rejim Assad pada Disember lalu sebagai ‘peluang bersejarah’ untuk memastikan masa depan yang lebih baik bagi semua rakyat Syria, menyokong proses peralihan, serta membantu dalam usaha penyatuan, kestabilan dan pemulihan negara itu. – Bernama

    Dubravka Suica tiba untuk Persidangan Brussels mengenai Syria di Bangunan Europa di Brussels pada 17 Mac 2025. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda