BRUSSELS, 2 APRIL – Ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), Joseph Borrell menyatakan bahawa blok itu akan memastikan tiada penyalahgunaan kuasa semasa Rusia memegang jawatan Presiden Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sepanjang bulan ini.
Rusia, salah satu daripada lima ahli tetap Majlis Keselamatan PBB, kelmarin telah mengambil alih jawatan presiden sebagai sebahagian daripada giliran bulanan antara 15 anggotanya.
“Walaupun menjadi anggota tetap Majlis Keselamatan, Rusia secara berterusan melanggar intipati rangka kerja undang-undang PBB,” menurut Borrell dalam ciapannya kelmarin.
“Kesatuan Eropah akan menentang sebarang penyalahgunaan oleh presidensi Rusia,” katanya.
Hubungan Rusia dengan Barat telah merosot ke tahap terendah sejak Perang Dingin berhubung pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.
Kiev telah menggelarkannya sebagai tindakan tidak wajar.
Kali terakhir Moscow memimpin majlis ialah pada Februari 2022, pada bulan yang sama ia menyerang Ukraine, yang memaksa Kiev untuk menuntut penyingkiran Rusia daripada majlis tersebut.
Rusia tidak akan mempunyai pengaruh besar dalam membuat keputusan tetapi akan bertanggungjawab atas agenda. – AFP
