Thursday, February 13, 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Euclid mula misi pertama

    AMERIKA SYARIKAT, 2 JULAI – Teleskop angkasa Euclid Eropah dilancarkan kelmarin, memulakan misi pertamanya untuk memberi penerangan mengenai dua misteri terbesar alam semesta, tenaga gelap dan jisim gelap.

    “Percayalah, saya sangat bersemangat, saya sangat gembira untuk melihat misi itu di angkasa lepas,” kata Ketua Pengarah Agensi Angkasa Eropah (ESA), Josef Aschbacher selepas pelancaran.

    Teleskop itu berjaya dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida, pada 11:12 pagi waktu tempatan dengan roket SpaceX, Falcon 9.

    Tidak lama selepas itu, setelah berpisah daripada roket, ia mengeluarkan isyarat pertamanya, seperti yang dirancang.

    ESA terpaksa bergantung kepada firma jutawan Elon Musk untuk melancarkan misi itu selepas Rusia menarik balik roket Soyuz sebagai tindak balas terhadap sekatan ekonomi berhubung perang di Ukraine.

    Teleskop angkasa Euclid sedang disediakan untuk pelancaran dari Cape Canaveral, Fla., 29 Jun. – AP

    “Pelancaran itu berjaya,” kata pengarah sains ESA, Carole Mundell. “Sekarang bermulalah perjalanan itu.”

    Selepas perjalanan selama sebulan melalui ruang angkasa, Euclid akan menyertai teleskop James Webb di tempat berlegar yang stabil kira-kira 1.5 juta kilometer (lebih daripada 930,000 batu)dari Bumi yang dipanggil Poin Lagrange kedua.

    Dari sana, Euclid akan memeta alam semesta yang terbesar dalam sejarah, merangkumi sehingga dua bilion galaksi merentasi lebih satu pertiga daripada langit.

    Dengan menangkap cahaya yang telah mengambil masa 10 bilion tahun untuk sampai ke Bumi, peta itu juga akan memberikan pandangan baharu tentang sejarah alam semesta yang berusia 13.8 bilion tahun.

    “Kami akan membongkar misteri Alam Semesta Gelap,” kata Mundell. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda