PARIS, 13 APRIL – Turkiye adalah satu-satunya pesaing kepada pencalonan UK dan Ireland untuk menjadi tuan rumah Kejohanan Eropah 2028, UEFA mengumumkan hari ini selepas menerima bidaan akhir daripada negara-negara yang berminat.
Badan induk bola sepak Eropah berkata bahawa Turkiye akan menentang bidaan bersama dari England, Scotland, Wales, Ireland Utara dan Republik Ireland untuk menjadi tuan rumah Euro 2028 dan Turkiye juga merupakan calon untuk menjadi tuan rumah Euro 2032.
Itali adalah satu-satunya pembida lain untuk hak penganjuran kejohanan 2032.
“Dalam bulan-bulan akan datang, pentadbiran UEFA akan menilai setiap bidaan, dengan Jawatankuasa Eksekutif UEFA untuk mengundi siapa yang telah memenangi hak untuk menjadi hos kedua-dua edisi pada Oktober,” kata badan itu dalam satu kenyataan.
Bidaan bersama Britain dan Ireland untuk Euro 2028 merupakan bidaan kegemaran selepas negara-negara itu membatalkan hasrat untuk bertanding bagi Piala Dunia 2030.

Persatuan bola sepak Inggeris, Scotland, Welsh, Ireland Utara dan Ireland berkata dalam satu kenyataan bersama: “Padang bola sepak berkapasiti tinggi, terkenal di dunia dan tempat baharu yang canggih akan menyediakan platform untuk kejohanan yang terbesar dan paling berjaya secara komersial buat UEFA.”
Bidaan itu membawa slogan Bola sepak untuk semua, bola sepak untuk kebaikan, bola sepak untuk masa depan, dan mengatakan lebih daripada 80 peratus pemegang tiket akan dapat pergi ke perlawanan dengan menaiki pengangkutan awam.
Sementara itu, Turkiye mengharapkan kejayaan kali ini selepas tewas kepada Jerman dalam bidaan untuk menjadi tuan rumah Euro 2024.
Kejohanan 2028 dan 2032 akan menampilkan 24 pasukan. – AFP

