LONDON, 31 DIS – Eurostar memberi amaran kepada pelanggan yang melakukan perjalanan dari London hari ini mengenai kemungkinan penangguhan selepas banjir memaksa pembatalan semua kereta api kelmarin.
Kereta api Eurostar pertama meninggalkan London St Pancras International sejurus selepas 8 pagi waktu tempatan.
Jurutera berjaya mengawal paras air di dua terowong di Kent, selatan England, dan sekurang-kurangnya satu terowong boleh digunakan, katanya.
Bagaimanapun Eurostar memberi amaran ‘akan ada beberapa sekatan kelajuan pada waktu pagi yang boleh menyebabkan kelewatan dan stesen dijangka sangat sibuk’.
Syarikat itu mengendalikan perkhidmatan dari London ke Paris, Brussels dan Amsterdam.
Ia mengumumkan lewat kelmarin semua kereta api yang dijadualkan akan beroperasi hari ini selepas dianggarkan lebih 30,000 orang terjejas akibat pembatalan saat akhir.
Para pengembara ditinggalkan terkandas di tanah besar Eropah manakala mereka yang berada di St Pancras terpaksa mencari bilik hotel atau membuat rancangan perjalanan alternatif. Beberapa pelancong berkata rancangan percutian Tahun Baharu mereka telah ‘hancur’.
Jurucakap HS1, yang mengendalikan laluan antara London dan Channel Tunnel, berkata banjir sedang diatasi dan ‘talian HS1 akan beroperasi pada waktu pagi‘. – AFP
