Tuesday, February 4, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    EV kuasai 96 peratus pasaran Norway

    OSLO, 3 FEB – Hampir 96 peratus kereta baharu yang didaftarkan di Norway pada Januari adalah kereta elektrik (EV), hampir mencapai matlamat negara Scandinavia itu untuk menjual hanya kenderaan pelepasan sifar mulai tahun ini.

    Menurut Pentadbiran Jalan Raya Awam Norway (OFV), EV merangkumi 95.8 peratus daripada kereta baharu yang didaftarkan bulan lalu.

    Termasuk model hibrid boleh dicas semula, bahagian pasaran kereta elektrik meningkat kepada 96.8 peratus.

    Sebanyak 9,343 kereta baharu telah dijual pada Januari, dengan 8,954 daripadanya adalah EV sepenuhnya.

    “Kami tidak pernah melihat perkara ini sebelum ini…Jika sepanjang tahun ini berterusan seperti ini, kami akan menghampiri matlamat 2025 dengan cepat,” kata Pengarah OFV, Oyvind Solberg Thorsen dalam satu kenyataan.

    EV dicas melalui stesen pengecasan di sebatang jalan di ibu negara Norway, Oslo pada 25 September lalu. – AFP

    “Namun, jika kita mahu mencapai 100 peratus EV, kita perlu mengekalkan insentif yang menjadikan pemilihan EV lebih menguntungkan berbanding model lain,” tambahnya.

    Daripada 50 model yang paling banyak dijual, hanya dua yang bukan elektrik, dengan model pertama menduduki tempat ke-33.

    Di Norway, EV dikecualikan daripada banyak cukai, menjadikannya lebih kompetitif berbanding kereta pembakaran dalaman yang dikenakan cukai tinggi.

    EV juga mendapat manfaat daripada pengecualian tol, parkir percuma di tempat letak kereta awam dan penggunaan lorong trafik pengangkutan awam.

    Walaupun beberapa pengecualian cukai dan insentif telah dikurangkan selama bertahun-tahun, EV kini menjadi perkara biasa.

    Pada Januari, kereta diesel hanya menyumbang 1.5 peratus daripada kereta baharu yang didaftarkan di negara itu, manakala kereta petrol 0.4 peratus, menurut OFV. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda