BRUSSELS, 15 APRIL – Juara Olimpik dua kali, Remco Evenepoel, akan membuat kemunculan semula dalam perlumbaan Brabantse Pijl di tanah airnya, Belgium, pada Jumaat ini selepas mengalami kemalangan serius tahun lalu.
Evenepoel, yang meraih pingat emas dalam acara perlumbaan lebuh raya dan ujian masa di Sukan Olimpik Paris tahun lalu, mengalami pelbagai kecederaan termasuk beberapa tulang patah, tulang selangka terkehel dan lebam pada paru-paru dalam kemalangan pada Disember lalu apabila beliau melanggar sebuah kenderaan semasa menjalani latihan di Belgium.
“Saya sedang menghitung hari untuk kembali berlumba bersama rakan-rakan buat kali pertama dalam tempoh lebih enam bulan,” kata Evenepoel dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukannya, Soudal Quick-Step, hari ini.
“Saya telah bekerja keras sepanjang tempoh ini, menyertai kem latihan intensif di Sepanyol dan saya berasa baik serta bermotivasi untuk menyertai Brabantse. Saya tidak meletakkan sebarang sasaran khusus, kerana yang paling penting ialah mendapatkan semula rentak perlumbaan selepas sekian lama berehat.”
Pelumba berusia 25 tahun itu melanggar pintu van pos yang terbuka pada 3 Disember. Impak pelanggaran itu cukup kuat sehingga menyebabkan rangka basikalnya patah. – AP
