LONDON, 22 Okt – Dua jaringan lewat pemain gantian Everton membolehkan kelab Merseyside itu meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan Crystal Palace 2-0 di Goodison Park dalam aksi Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.
Ademola Lookman menjadi perancang kepada jaringan pertama melalui tandukan pada minit ke-87 oleh Dominic Calvert-Lewin dan pemain gantian ketiga Cenk Tosun menembusi gawang lawan dua minit kemudian.
Palace terlepas peluang mendahului lawan apabila sepakan penalti pemain Serbia, Luka Milivojevic diselamatkan penjaga gol Everton dan England, Jordan Pickford.
Sepakan penalti diperolehi apabila Wilfried Zaha yang kembali cergas selepas terlepas aksi bersama Ivory Coast dalam misi antarabangsa minggu lalu dikasari pemain lawan Seamus Coleman.
Crystal Palace kini hanya menjaringkan lima gol dalam sembilan perlawanan, rekod kedua terburuk di Liga Perdana.

Everton melonjak tiga anak tangga ke kedudukan kelapan, Palace pula jatuh ke tangga ke-15.
Pengurus Everton dari Portugal Marco Silva yang mengendalikan kelab untuk musim pertamanya ternyata sangat gembira dengan sumbangan tiga pemain gantiannya.
“Kami datang ke sini membuat keputusan dan bukan hanya memikirkan ke-sebelasan utama,” katanya.
“Tiga pemain gantian kami beraksi agresif. Ini sangat bagus dan saya gembira dengan mereka.”
Crystal Palace yang kini dua mata di atas zon penyingkiran selepas kekalahan ketiga berturut-turut berjaya mengimbangi permainan sehingga ke saat akhir.
“Bola sepak tidak memberi apa yang sepatutnya kamu dapat, ia mengenai keputusan,” kata pengurus Palace, Roy Hodgson.
“Keputusan ini sangat mengecewakan selepas pertahanan kami beraksi sangat baik sehinggalah kami bolos dengan permainan berbaki tiga minit lagi,” katanya.
Sementara itu, pemain Turki, Tosun yang menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan berkata Everton kini semakin yakin menjelang pertembungan dengan Manchester United minggu depan. – AFP