Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Evolusi bahasa dalam titah Baginda jadi rujukan kajian

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JULAI – Peranan bahasa dalam membentuk wawasan dan identiti kebangsaan diketengahkan menerusi satu kajian komprehensif oleh pakar bahasa Melayu dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Najib, yang meneliti titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Kebangsaan dari tahun 1984 hingga 2025.

    Pembentangan kertas kerja kajian bertajuk Suara Kedaulatan: Bahasa, Kuasa, dan Identiti dalam Titah Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (1984–2025) itu telah diadakan baru-baru ini dengan kerjasama pihak penBORNEO dan Pusat Sejarah Brunei.

    Menurut Dr Najib, inspirasi kajian ini timbul daripada minat beliau dalam meneroka potensi penyelidikan bahasa Melayu yang relevan untuk generasi masa kini dan masa hadapan, khususnya dalam konteks Brunei dan Dunia Melayu.

    “Kajian ini didorong oleh pengalaman saya menulis, membentang dan menerbitkan kajian linguistik bersama para sarjana tempatan dan antarabangsa. Tambahan pula, saya sentiasa menjadikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai teladan, seperti mana rakyat Baginda yang lain. Setiap titah Baginda Sultan membawa makna yang mendalam kepada kami sebagai rakyat dan ahli akademik,” ujarnya semasa ditemui selepas pembentangan tersebut.

    Kajian berkenaan meneliti wacana titah diraja sebagai teks autoriti negara yang sarat dengan elemen linguistik, retorik dan ideologi. Titah-titah berkenaan bukan sahaja bersifat adat-istiadat tetapi juga berfungsi sebagai cerminan naratif negara yang menggariskan hala tuju pemerintahan, aspirasi rakyat, serta pemerkasaan nilai Melayu Islam Beraja dalam kerangka Wawasan Brunei 2035.

    “Titah Baginda Sultan mencerminkan keutamaan kerajaan dan aspirasi rakyat dari semasa ke semasa,” jelasnya.

    Antara tema utama yang dikenal pasti dalam titah-titah tersebut termasuklah pemeliharaan kedaulatan dan keselamatan negara, pemantapan identiti nasional dan perpaduan, pengukuhan kerjasama serantau dan antarabangsa, pembangunan belia dan pendidikan, menangani isu-isu ekonomi dan sosial, serta pemacuan transformasi digital dan teknologi.

    “Bahasa yang digunakan dalam titah memperlihatkan gaya formal yang strategik, dengan penggunaan kata ganti diri kolektif, pengulangan retorik serta elemen estetika bagi membina hubungan simbiotik antara raja dan rakyat,” tambahnya.

    Menurut beliau lagi, kajian linguistik terdahulu di peringkat antarabangsa telah menunjukkan kaitan rapat antara bahasa dan perkembangan sejarah sesebuah negara.

    “Bahasa berfungsi sebagai alat penting dalam menyampaikan budaya, identiti dan pengetahuan sejarah. Maka, memahami evolusi bahasa dalam titah Baginda Sultan memberikan gambaran tentang perubahan budaya, perkembangan sosial dan juga pengaruh politik dalam sejarah Brunei,” jelas beliau.

    Kajian ini turut membuka ruang akademik baharu dalam bidang linguistik, kenegaraan, dan sosiologi, selain berpotensi dimanfaatkan dalam pendidikan, pembangunan dasar serta pembinaan jati diri generasi muda.

    “Sebagai ahli akademik, kita harus terus mengembangkan potensi bahan kajian dari semasa ke semasa serta merentas pelbagai bidang. Ini penting bukan hanya untuk generasi hari ini, tetapi sebagai warisan untuk generasi masa depan,” katanya lagi.

    Kajian berkenaan mencadangkan agar titah-titah diraja dijadikan sumber teks utama dalam pengajian bahasa, kepimpinan dan komunikasi strategik. Ia juga bakal diterbitkan dalam bentuk artikel ilmiah dan buku, serta akan dibentangkan dalam pelbagai platform akademik serantau dan antarabangsa.

    “Dengan meneliti titah Baginda Sultan yang kita sayangi, kita menelusuri denyut nadi negara dari sejarah ke masa depan,” ujar beliau menutup temu bualnya.

    Dr Najib kini bertugas sebagai pensyarah di Program Bahasa Melayu dan Linguistik, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UBD. Beliau juga telah menghasilkan pelbagai penulisan ilmiah termasuk sebuah buku dan artikel yang diterbitkan oleh penerbit ternama seperti Cambridge University Press, Elsevier, Palgrave Macmillan, Springer, Routledge dan Taylor & Francis.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menyampaikan titah di satu Majlis Sambutan Hari Raya.– Gambar fail Media Permata
    Dr Najib merujuk koleksi titah Baginda dalam kajiannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda