Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh mewakili Negara Brunei Darussalam di Forum Pendidikan Dunia Tahunan ke-21 (EWF) yang berlangsung di Pusat Queen Elizabeth II di London, United Kingdom (UK) pada 18 hingga 21 Mei.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan, di sini, menyatakan Yang Berhormat Datin telah diiringi oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, bersama pemimpin-pemimpin sekolah dan pegawai-pegawai kementerian.
Forum berprestij itu, yang diiktiraf sebagai perhimpunan terbesar menteri-menteri pendidikan dan kemahiran sedunia, telah menyediakan platform penting untuk bertukar pelbagai perspektif dan menangani cabaran pendidikan yang kritikal.
EWF dianjurkan bersama oleh Jabatan Pendidikan UK (DfE) dengan sokongan dari Pejabat Luar Negeri, Komanwel dan Pembangunan (FCDO), Jabatan Perniagaan dan Perdagangan (DBT), Majlis British serta pelbagai rakan industri.
Forum yang membawa tema, Daripada Kestabilan kepada Pertumbuhan: Membina Pendidikan yang Lebih Kukuh, Berani dan Baik Bersama, menampilkan pelbagai sesi pleno komprehensif dan pertukaran peringkat menteri yang memfokuskan kepada pembangunan sistem pendidikan yang inklusif, responsif dan berdaya tahan yang menggalakkan pertumbuhan sosioekonomi yang saksama dan mampan.
Para peserta forum meneroka penyelesaian inovatif untuk cabaran-cabaran pendidikan, dengan penekanan khusus kepada pengintegrasian teknologi, perkongsian awam-swasta, dan kerjasama antarabangsa.
Di luar program utama forum, Yang Berhormat Datin turut menghadiri Perbincangan Meja Bulat Menteri-menteri ASEAN mengenai Pembelajaran Asas, di mana para peserta membincangkan dapatan analisis Metrik Pembelajaran Asas Asia Tenggara (SEA-PLM).
Inisiatif serantau itu mendapat sokongan daripada UK melalui Program UK-ASEAN Menyokong Kemajuan Pendidikan Perempuan (SAGE).
Yang Berhormat Datin juga telah mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Pendidikan Awal UK, Tuan Yang Terutama Stephen Morgan MP, untuk mengukuhkan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan UK dalam bidang penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak.
Semasa berada di London, Yang Berhormat Menteri Pendidikan telah membuat perjumpaan dengan pelajar-pelajar Brunei yang sedang menuntut di UK dalam satu sesi muzakarah dan dialog yang diadakan di Brunei House.
Sementara itu, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati telah mengadakan perbincangan secara berasingan bersama beberapa penyedia perkhidmatan pendidikan dalam penyelesaian literasi, penilaian dan matematik untuk menerokai potensi kerjasama.