Ex HBG, Ex HBG Ladies anjur majlis korban

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Ahli-ahli Kumpulan Ex Hostel Boy Group (Ex HBG) yang merupakan bekas pelajar-pelajar Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOASC) yang menetap di hostel serta isteri-isteri mereka (Ex HBG Ladies) tidak ketinggalan mengadakan majlis ibadah korban, baru-baru ini, yang diungkayahkan buat kali ketiga.

Majlis berlangsung di Rumah Bukit Tajau, kediaman Dato Paduka Dr Haji Morni bin Haji Othman, di mana pada tahun ini empat ekor kerbau telah dikorbankan hasil penyertaan seramai 28 orang ahli kumpulan dan ahli keluarga mereka. Dalam situasi penularan pandemik wabak COVID-19, kehadiran dihadkan sekitar 90 orang sahaja bagi majlis berkenaan.

Pada majlis itu, penyampaian agihan daging korban telah disempurnakan oleh ahli-ahli Lembaga Penasihat Kumpulan, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arsad, Dato Paduka Seri Haji Abdul Rahman bin Haji Johan, Dato Paduka Dr Haji Morni bin Haji Othman dan Haji Abdul Rahman bin Haji Lahab.

Turut menyampaikan daging korban ialah salah seorang ahli kumpulan, Pengiran Dato Paduka Haji Zaini bin Pengiran Haji Kamalluddin.