Anggota kumpulan Exists bersetuju untuk ‘menyimpan’ vokalisnya Mamat untuk projek khas mereka pada tahun depan.
Menurut Ajai atau Mohamad Faizal Maas, 50, buat masa ini mereka ada sahaja menjemput Mamat atau Mohd Ali Kamarudin, 48, ke persembahan kecil sebagai pemanas badan sebelum penyanyi itu kembali ke pentas besar.
“Sebenarnya kami sudah ada perancangan rapi untuk dia, cuma buat masa ini kami ‘simpan’ dia untuk konsert reunion Exists pada tahun hadapan.
“Kalau diikutkan ada sahaja persembahan yang kami undang Mamat seperti di Kelantan baru-baru ini. Kami beri dia warm up dulu,” katanya kepada mStar.
Ajai berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media konsert Exists Premium Live @ PJ di IOI City Mall, Putrajaya kelmarin.
Berkongsi lanjut, kata Ajai, kesihatan Mamat juga semakin baik selepas menerima rawatan di Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Bentong, Pahang.
Malah seluruh anggota Exists sentiasa mendoakan yang terbaik buat Mamat kerana mereka mahu mencapai kejayaan bersama-sama.
“Prestasi Mamat sekarang sudah makin bagus, malah kami dengar daripada warden dia macam jadi ikon di sana. Walaupun dia masuk Pengasih tapi pucuk pangkal adalah hatinya yang nak berubah.
“Kami sebagai abang-abang Mamat sentiasa mendoakan yang terbaik untuk dia supaya apa yang kami capai, dia turut capai perkara sama,” ujarnya.
Untuk rekod, Mamat kini sudah hampir setahun berada di bawah pengawasan Pengasih untuk rawatan dan pemulihan selepas terpalit kes berkaitan penyalahgunaan dadah. – Agensi


