Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Exor beli 15% saham Philips

    THE HAGUE, 14 OGOS – Keluarga Agnelli Itali telah memperoleh 15 peratus kepentingan dalam firma teknologi perubatan Belanda, Philips, langkah terbaharu dalam sektor kesihatan bagi industri bersejarah itu, kata kedua-dua kumpulan hari ini.

    Pelaburan itu dibuat melalui syarikat pemegang saham Exor yang berpangkalan di Belanda, yang juga akan mempunyai satu kerusi dalam lembaga penyeliaan Philips.

    Exor memberitahu AFP bahawa perjanjian itu bernilai kira-kira AS$2.8 bilion ‘pada harga pasaran semasa.’

    Perbincangan antara kedua-dua syarikat bermula pada akhir tahun lalu, sejurus sebelum Ketua Pegawai Eksekutif, Philips Roy Jakobs melancarkan pelan strategik baharu pada Januari 2023 untuk kumpulan itu.

    Beliau turut mengumumkan pemotongan 6,000 pekerjaan di seluruh dunia ketika Philips bergelut untuk pulih daripada kerugian besar akibat penarikan semula alat pernafasan tidur yang rosak, menyebabkan beberapa tindakan mahkamah di Amerika Syarikat yang telah menjejaskan reputasinya.

    “Haluan perubahan yang diambil oleh Philips dalam beberapa tahun kebelakangan ini telah mewujudkan sebuah syarikat yang menggabungkan dua bidang, iaitu penjagaan kesihatan dan teknologi, di mana kedua-duanya merupakan tumpuan utama kami,” kata bos Exor, John Elkann.

    Keluarga Agnelli, pemilik ikon Ferrari Itali dan kelab bola sepak Juventus, baru-baru ini mengembangkan perniagaannya dalam bidang penjagaan kesihatan, dengan pegangan dalam kumpulan bioteknologi Perancis, Merieux dan pengendali hospital Itali, Lifenet.

    Perjanjian itu diterima baik oleh pelabur, dengan saham Philips meningkat 4.6 peratus kepada 19.34 euro dalam perniagaan saham di Amsterdam pada pagi ini. – AFP

    John Elkann semasa menghadiri acara pengenalan Jeep Avenger 4Xe Concept, pada hari pertama pameran kereta Paris 2022 pada 17 Oktober 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda