Friday, December 27, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Explor-a-saurus dapat sambutan ramai

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    SERIA, 29 Dis – Pusat Penemuan Minyak dan Gas (OGDC) terus menerima banyak kunjungan sejak menghoskan pameran berbagai-bagai jenis dinosaur animatronik antaranya Stegosaurus, Triceratops, Tyrannosaurus Rex dan sebagainya yang dibawakan dari Scitech, Australia.

    Pameran bertema Explora-saurus yang akan diadakan sehingga April depan itu bukan sahaja mempamerkan koleksi dinosaur yang boleh bergerak dan mengaum, tetapi turut mempamerkan banyak pameran lainnya seperti rangka spesimen dinosaur, spesimen tumbuhan purba, telur dinosaur, fosil serangga dan tapak kaki dinosaur, di samping teater dinosaur, yang memberikan peluang kepada pengunjung menonton bagaimana dinosaur menjadi pupus.

    Di samping itu, beberapa pameran lainnya juga memberikan pengalaman yang lebih interaktif, seperti Robosaurus yang membolehkan pengunjung mengawal bahagian-bahagian dinosaur yang berlainan untuk menggerakkannya, Dinosaur Dig pula memberikan pengalaman kepada pelawat menggali tanah, pelawat juga berpeluang melangkah masuk ke dalam rahang T-Rex.

    Explora-saurus diadakan untuk menambah pengetahuan dan pengalaman kalangan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun bersama keluarga mereka.

    Ia juga menggambarkan penggunaan konsep seperti paleontologi dan forensik dalam mengungkap sisa-sisa dinosaur, pembelajaran biologi dalam meneroka bagaimana dinosaur berkembang dalam persekitaran mereka dan penggunaan kemahiran matematik untuk menguji kekuatan gigitan T-Rex.

    Berbagai-bagai jenis dinosaur animatronik dipamerkan untuk orang ramai di OGDC.

    OGDC percaya objektif pameran dalam menghubungkan pengunjung ke evolusi planet melalui tema Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selaras dengan misi untuk memajukan STEM di negara ini, terutama sekali kepada kalangan generasi muda.

    Untuk melengkapi pameran itu, aktiviti sains turut diadakan pada setiap hujung minggu.

    Melalui pameran itu, OGDC berhasrat untuk menyokong industri pelancongan Brunei dalam menarik lebih ramai pengunjung luar. Explora-saurus disokong baik oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Jabatan Pelancongan dan Lembaga Pelancongan Brunei.

    OGDC juga sentiasa mengalu-alukan kunjungan orang ramai bukan hanya untuk pengalaman pendidikan, malah sebagai lawatan keluarga yang menyeronokkan dan pastinya amat bernilai. Dalam pada itu, OGDC akan dibuka seperti biasa pada 1 Januari 2018.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda