Oleh James Kon
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Restoran makanan segera Brunei, Express yang terkenal dengan warna signatur merah birunya telah mengembalikan rasa nostalgik kentang goreng, pai ayam, ayam goreng rangup dan rol ayam susulan penjenamaan semula restoran berkenaan, hari ini.
Jenama dan logo baharu direka untuk menggambarkan pertumbuhan, dorongan bagi inovasi dan melambangkan wawasan syarikat untuk menjadi ikon menonjol dalam industri makanan segera di Brunei dengan harapan untuk membawa jenama itu ke seberang laut suatu hari nanti.
Salah satu penambahbaikan pertama yang dibuat iaitu kentang goreng dan susu kocak, di mana syarikat berkenaan telah mengembalikan semula kentang goreng yang menjadikan jenama itu terkenal pada awalnya.
Di samping itu, syarikat turut memperkenalkan menu-menu baharu termasuk burger ikan, pai buah pic dan aiskrim coklat.
Pada masa yang sama ruang restoran dan bungkusan baharu diberi sentuhan warna merah dan biru terang serta dipadankan dengan jalur ikonik yang dimodenkan.
Restoran itu telah beroperasi selama 30 tahun dengan cawangan pertama dibuka di lapangan terbang pada 1988.
Pengurus Restoran, Alvin Lim dalam ucapannya berkata, “Saya juga membesar bersama Express, saya mempunyai memori istimewa yang masih yang ingati.
“Ia menjadi ‘tempat yang dikunjungi’ sebelum menaiki pesawat di lapangan terbang,” ujarnya sambil menambah, pasti ramai yang boleh mengaitkan dengan pengalaman berkenaan dengan menikmati pai ayam, kentang goreng, ayam goreng dan susu kocak.
Semasa mendedahkan logo dan menu baharu, Alvin juga memperkenalkan tiga kakitangan paling lama berkhidmat, daripada pasukan sebenar 30 tahun lalu. Mereka ialah Dayang Siti Armah dan Dayang Noriah yang telah bersama Express sejak hari pertama sehingga hari ini, serta Sita yang telah bersama restoran itu selama 16 tahun.
Kesemua pasukan Express terdiri daripada anak tempatan.
