Dengan sekali lafaz, pelakon Eyka Farhana sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak Malaysia iaitu Akhyar Rashid pagi tadi.
Pasangan itu disatukan sebagai suami isteri sekitar jam 10.12 pagi di Boathouse by The Lake Ampang, Kuala Lumpur, menurut laporan mStar.
Pada majlis itu, Eyka atau Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 30, menerima mas kahwin sebanyak RM3,200 daripada Akhyar.
Sebelum ini, media melaporkan Eyka dan Akhyar, 26, bakal menamatkan zaman bujang pada awal Mei.
Bagaimanapun, kata Eyka dia masih belum bersedia untuk berkongsi tarikh perkahwinan mereka kepada umum.
Untuk rekod, Eyka dan Akhyar mengikat tali pertunangan pada 4 Ogos 2023 selepas tiga tahun bercinta. – Agensi
