Pelakon Eyra Hazali memohon warganet menjaga percakapan dan tidak mendoakan keburukan terhadap suaminya yang juga merupakan penjaga gol pasukan bola sepak Harimau Malaya iaitu Haziq Nadzli.
Kata Eyra atau Hazira Qasdina Hazali, 25, dia dapat menerima segala kecaman yang dilemparkan namun menyifatkan tindakan mendoakan suaminya lumpuh adalah melampau.
“Caci makian awda (warganet) lemparkan, kami boleh terima. Tapi hinaan, mendoakan suami saya lumpuh, melibatkan anak-anak kami adalah melampau.
“Jaga lisan,” katanya.
Eyra berkongsi perkara itu menerusi sebuah cerita Instagram yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Dalam pada itu, pelakon drama Mr Grey ini memberitahu dia tetap akan memberikan sokongan terhadap suaminya dan berharap agar doa-doa keburukan yang dilemparkan kepada warganet tidak berbalik kepada diri mereka.
“Saya berdoa semoga doa-doa itu tidak berbalik pada awda dan keluarga.
“Ya, Haziq kami akan sentiasa menyokong awak,” ujarnya.
Sebelum ini, Haziq menerima kecaman warganet selepas melakukan kesalahan sehingga membantu pasukan Thailand mendapatkan tiga mata penting dalam saingan Piala Asean 2024 pada malam Sabtu.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Rajamangla, Bangkok itu menyaksikan kemenangan tipis Thailand dengan jaringan 1-0.
Jaringan itu merupakan daripada hantaran Haziq yang tersasar singgah ke kaki pemain tengah serangan Thailand, Suphanat Mueanta dan mengumpan penyerang Patrik Gustavsson untuk menyempurnakan jaringan penentu perlawanan.
Hal itu menyebabkan Instagram milik Eyra diserang warganet yang melemparkan kecaman terhadap kesalahan yang dilakukan suami aktres berkenaan. – Agensi