Pelakon Malaysia, Ezzaty Abdullah selamat bersalin anak ketiga pada pukul 11:29 pagi kelmarin.
Ezzaty, 34, memberitahu dia dan suami iaitu Azwan Kombos menimang cahaya mata lelaki dan meluahkan rasa bersyukur bagi mereka dilahirkan pada bulan kelahiran Rasulullah SAW.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah, dengan mengambil berkat bulan kelahiran Rasulullah, pada 21 Rabiulawal 1446H bersamaan 26 September 2024, pada jam 11:29 pagi, anak damit lelaki kami selamat dilahirkan.
“Baby dan saya dalam keadaan sihat. Terima kasih kepada yang mendoakan kami,” katanya yang dikongsi mStar.
Ezzaty berkongsi berita gembira itu menerusi satu hantaran di Instagram miliknya pada petang kelmarin.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet mengucapkan ucapan tahniah dan mendoakan urusan berpantang aktres itu dipermudahkan.
“Eh bersalin dah ke? Baru je tengok video kat IG bawa anak-anak berjalan, apa-apa pun tahniah dan selamat berpantang.
“Tahniah Ezzaty dapat anak damit lelaki, semoga urusan berpantang selepas ini dipermudahkan.
“Alhamdulillah ibu dan anak sihat, selamat berpantang buat Ezzaty selepas ini,” tulis warganet. – Agensi