Pelakon Ezzrin Loy berkata dia kini lebih selektif memilih watak lakonannya di dalam sesebuah karya.
Ezzrin atau nama sebenarnya, Ahmad Ezzrin Loy, 26, berkata dia enggan lagi memegang watak sebagai budak sekolah memandangkan sudah puas melakonkan karakter sedemikian sebelum ini.
“Sebenarnya saya dalam industri sejak usia lapan tahun tapi kebanyakkan watak saya dahulu budak-budak.
“Tapi apabila usia dah masuk 20 tahun… dapat pula watak budak sekolah saya rasa macam apa saya buat dekat sini.
“Sebab saya rasa daripada dulu saya bawa watak budak sekolah sahaja selama 12 tahun,” katanya kepada mStar.
Gara-gara terlalu banyak memegang watak budak sekolah membuatkan dia mula berasa kurang berminat untuk berlakon.
Disebabkan itulah dia memilih untuk berehat seketika dan mendekati watak yang lebih dewasa.
“Bagi saya bawa watak budak sekolah berbeza dengan watak orang besar… sebab itu saya perlahan-lahan meneroka dunia lakonan sebagai orang dewasa.
“Sebab itulah saya mula keluar dengan watak budak kolej… dan takkan ambil watak budak sekolah,” ujarnya. – Agensi