Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    F1: Ricciardo catat masa terpantas

    MONTMELO, Sepanyol, 27 Feb – Pelumba Australia, Daniel Ricciardo menjadi pemandu terpantas pada hari pertama ujian Formula Satu (F1) awal musim di Barcelona semalam.

    Pemandu Red Bull itu merupakan satu-satunya pemandu yang menamatkan lebih daripada 100 pusingan dan mencatat masa terpantas 1 minit 20.179 saat di litar perlumbaan Catalunya.

    Pelumba Finland, Valtteri Bottas daripada Mercedez menduduki tempat kedua pada 0.170 saat dengan rakan senegara, Kimi Raikkonen pada 0.327 bersama Ferrari.

    Empat masa terpantas semuanya dicatat dalam sesi pagi tatkala cuaca yang buruk pada sesi petang, termasuk hujan, menjejaskan pemandu.

    Bekas juara dunia dua kali, Fernando Alonso mempunyai hari yang sukar, berakhir dengan melanggar penghalang selepas roda belakang kereta McLaren tertanggal.

    Pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo ketika menjalani ujian pertama F1 di Catalunya. Ricciardo telah mencatatkan masa terpantas dan berjaya menamatkan lebih daripada 100 pusingan. – AFP

    Bagaimanapun, pemandu Sepanyol itu masih berupaya mencatat masa kelima terpantas, di belakang pelumba Renault, Nico Hulkenberg di tempat keempat.

    Juara dunia Britain Lewis Hamilton hanya menamatkan 25 pusingan dan berakhir dengan pusingan ketujuh terpantas.

    Sementara itu, Toro Rosso memperkenalkan kereta Honda baru 2018 mereka sebelum ujian awal musim dimulakan.

    “Saya yakin Honda mempunyai kapasiti dan pengetahuan untuk menghasilkan enjin ke satu tahap di mana kami jangka akan mencapainya,” kata ketua pasukan, Franz Tost merujuk kepada pertukaran Toro Rosso daripada enjin Renault.

    Honda menghadapi masalah dengan kebolehpercayaan dan prestasi lemah sejak kepulangannya ke F1 pada 2015 selepas tidak mengambil bahagian selama 10 tahun.

    Perkongsian dua tahun dengan Mclaren terbukti gagal sementara pada tahun lalu Sauber membatalkan rancangan untuk mengambil enjin Honda pada musim ini.

    “Honda telah mencatat banyak kemajuan dalam beberapa bulan lalu mengenai kebolehpercayaan serta prestasi, maka kami tidak sabar-sabar untuk mengambil bahagian pada musim ini,” tegas Tost. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda