Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) terus mempergiatkan langkah dan memperkemaskan usaha untuk merealisasikan hasrat bagi merubah landskap bola sepak di Negara Brunei Darussalam.
Ke arah itu, inisiatif yang dilaksanakan meliputi usaha mencari sokongan dan kerjasama padu daripada semua sektor yang berkepentingan dengan persatuan berkenaan.
Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh menerima kunjungan hormat Presiden FABD, Haji Feisal Eusoff bersama rombongan di Kementerian Pendidikan, hari ini.
Menurut kenyataan FABD, di sini, majlis perjumpaan itu juga dihadiri oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin dan Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.
Sementara itu, rombongan FABD telah disertai oleh Timbalan Presiden FABD, Haji Mahrub bin Haji Murni; Pemangku Setiausaha Agung, Awang Ahmad Za’eem Omarali dan ahli jawatankuasa eksekutif, Pengiran Haji Jufry bin Pengiran Haji Jaludin.
Semasa perjumpaan itu, Haji Feisal berkata, jalinan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan sangat penting dalam membantu FABD bergerak ke hadapan khususnya sokongan tenaga manusia dan kebenaran penggunaan prasarana seperti padang dan dewan bagi latihan dan perlawanan bola sepak dan futsal.
“Jika ia mendapat kebenaran, FABD berhasrat akan bekerjasama bagi memulihara padang-padang yang digunakan oleh kelab-kelab bola sepak dengan menggunakan peruntukan FABD,” jelasnya.
Sementara itu, FABD memohon kerjasama pihak kementerian untuk mendapatkan data pelajar-pelajar lelaki yang berusia antara sembilan sehingga 12 tahun yang kurang berkemampuan dari segi pendapatan keluarga untuk dibantu pembiayaannya oleh FABD bagi menyertai program bola sepak akar umbi.
FABD juga memohon kebenaran kelonggaran cuti bersekolah bagi pelajar-pelajar berusia 20 tahun ke bawah yang terpilih mewakili skuad negara.