Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) meneruskan usahanya untuk meningkatkan, membangunkan dan menggembangkan lagi mutu sukan bola sepak Negara Brunei Darussalam.
Ke arah itu, FABD mengadakan Majlis Penandatanganan Pengarah Teknikal FABD yang baharu, Fabio Joaquim Maciel Da Silva, yang berlangsung di Dewan Teater FABD, hari ini.
Hadir pada majlis berkenaan ialah Presiden Interim FABD, Pengiran Haji Kamarunsalehin Pengiran Haji Kamis. Turut hadir ialah ahli-ahli kongres, jawatankuasa eksekutif dan kakitangan FABD.
Dalam kata alu-aluannya, Pengiran Haji Kamarunsalehin mengalu-alukan pelantikan Fabio sebagai pengarah teknikal FABD yang baharu dan percaya pengalaman serta kelayakakan beliau dalam bola sepak akan membawa perubahan kepada bola sepak Brunei.
Beliau menyatakan harapan mereka adalah bagi Jabatan Teknikal untuk merombak bola sepak negara daripada perspektif teknikal khususnya dalam membangunkan jurulatih tempatan di peringkat kelab dan juga kebangsaan, melahirkan lebih ramai jurulatih berlesen yang diiktiraf oleh FIFA dan AFC.
Dalam hubungan itu, tekannya, FABD perlu menjana sebuah sistem yang lebih baik untuk pasukan negara dari segi pembangunan, pemilihan dan latihan pemain-pemain daripada peringkat akar umbi hingga ke peringkat senior. Mereka bercita-cita untuk menjadi sebuah pasukan kebangsaan yang kompetitif di rantau ini.
Pengiran Haji Kamarunsalehin juga menyatakan bahawa mereka harus lebih menumpukan kepada program-program yang lebih meluas kepada masyarakat untuk menarik lebih minat dalam mempromosikan bola sepak di negara ini.
Usaha itu, ulasnya, boleh dicapai dengan menjalin semula hubungan mereka dengan sekolah-sekolah menerusi kerjasama yang rapat dengan Kementerian Pendidikan dalam membangunkan belia di negara ini termasuk pembangunan kapasiti guru-guru yang terlibat di barisan hadapan.
Pada majlis berkenaan, Fabio Da Silva dalam ucapan ringkasnya menyatakan bahawa selaku pengarah teknikal, beliau akan memastikan visi, strategi dan sumber adalah selaras serta dapat dicapai dengan jayanya.