Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 MEI – Ke arah usaha untuk meningkatkan bidang bola sepak negara, Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) dan Persatuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung di Hotel Bangkok Marriott Marquis Queen’s Park, Bangkok, Thailand, baru-baru ini.
Pada majlis berkenaan, Presiden FABD, Feisal Eusoff telah menandatangani bagi pihak FABD sementara Presiden SAFF, Yasser Al Misehal menandatangani bagi pihak SAFF.
Majlis berkenaan telah disaksikan oleh Timbalan Presiden FABD, Haji Mahrub bin Haji Murni, Pemangku Setiausaha Agung FABD, Matali bin Haji Tahir dan ahli Jawatankuasa Eksekutif FABD, Pengiran Haji Jufry bin Pengiran Haji Jeludin.
Di bawah MoU berkenaan, kedua-dua pihak bersetuju untuk mengukuhkan hubungan persatuan bola sepak masing-masing yang akan memberikan faedah bersama dalam mempromosi kemajuan dan kejayaan dalam bidang bola sepak.
Dalam aspek kejurulatihan, SAFF juga bersetuju membantu menyediakan pengarah teknikal, ketua jurulatih pasukan kebangsaan dan pasukan futsal kebangsaan bagi projek-projek yang dipersetujui bersama.
Bidang-bidang bagi pertukaran pengurusan bola sepak dan teknikal serta akademi di samping pertukaran penerangan sukan seperti aktiviti-aktiviti pamasaran dan komersial, kemudahan sukan, pendidikan dan penyelidikan akan merancakkan lagi usaha kedua-dua belah pihak dalam memajukan lagi pembangunan bola sepak.
Sementara itu, pembangunan jurulatih, pengadil dan pengunaan pengadil berbantukan video (VAR) juga menjadi perhatian kedua-dua pihak untuk diterokai bersama.
FABD dan SAFF juga merangka peluang-peluang bagi mengadakan perlawanan persahabatan di kedua-dua buah negara yang melibatkan pasukan-pasukan belia kebangsaan.
Perjanjian merupakan hasil yang sangat signifikan daripada lawatan rasmi yang diadakan oleh presiden dan delegasi FABD kepada SAFF di Arab Saudi pada Mac lalu.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/05/P22-B_16052024.jpg)