Wednesday, February 12, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    FABD, TDAFA bincang perkembangan terkini

    Oleh SIM Y.H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MAC – Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD) sebagai indung kelab bola sepak di Negara Brunei Darussalam sentiasa memberikan perhatian mengenai perkembangan dan merapatkan kerjasama dengan kelab-kelab bola sepak di negara ini.

    Sehubungan itu, sesi perjumpaan FABD dengan Persatuan Bola Sepak Amatur Daerah Tutong (TDAFA), baru-baru ini, menjadi landasan terbaik kedua belah pihak untuk bertukar pandangan dan mekanisme bagaimana memajukan bola sepak di Daerah Tutong.

    Muzakarah juga akan membuka ruang kedua belah pihak untuk mengorak langkah positif kepada kelab-kelab dengan memberikan pandangan dan menyampaikan permasalahan yang memerlukan perhatian FABD.

    Presiden FABD, Haji Feisal Eusoff melahirkan hasrat untuk pergi ke kampung-kampung bagi membantu dan memberikan perhatian kepada pemain-pemain akar umbi yang kurang berkemampuan supaya mereka juga dapat tampil menjadi pemain yang berjaya.

    Beliau juga melahirkan harapan supaya persatuan bola sepak di daerah berkenaan berusaha lebih gigih dan terus menyusun program atau aktiviti yang menjurus memajukan bola sepak.

    Sementara itu, Pemangku Yang Di-Pertua TDAFA, Haji Bujang bin Haji Jaafar menjelaskan TDAFA akan mengadakan Liga TDAFA pada hujung April dan Kejohanan Akar Umbi pada Mei.

    Sesi perjumpaan itu juga mendengar taklimat perancangan aktiviti peringkat akar umbi daripada Unit Pembangunan Bola Sepak Akar Umbi, Jabatan Pembangunan Teknikal, FABD yang disampaikan oleh Awang Mohd Farid Hanis Ghassani Al-Muizz Haji Marali.

    Hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Agong TDAFA, Awang Matusin bin Sumpong, perwakilan pengurus dan jurulatih kelab-kelab bola sepak di daerah Tutong.

     

    Gambar ramai ahli-ahli FABD bersama Haji Feisal Eusoff semasa sesi perjumpaan dengan TDAFA. – GAMBAR SERAHAN FABD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda