Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Kerajaan Jepun dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) hari ini telah menyumbangkan sebanyak 48 biji bola sepak, 21 biji bola futsal, dan pakaian latihan dan sukan kepada Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD).
Hadir bagi menyerahkan sumbangan berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru.
Sumbangan diterima oleh Presiden FABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan, yang mana pada majlis berkenaan beliau turut berkesempatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Jepun atas sumbangan yang diberikan.
Pada masa yang sama beliau juga menzahirkan harapan untuk melihat bola sepak tanah air dapat berkembang maju dan mencontohi Jepun dalam mengembangkan sukan berkenaan bukan sahaja di negara itu sendiri malah di peringkat yang lebih tinggi terutamanya apabila melihat kejayaan Jepun dalam penganjuran Piala Dunia pada tahun 2002 yang lalu.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh TYT Maeda Toru pada majlis tersebut turut menyatakan perasaan terujanya melihat kerjasama aktif antara Jepun dan Brunei Darussalam dalam arena bola sepak yang terbina sejak beberapa tahun yang lalu khususnya apabila seorang jurulatih bola sepak kelahiran Jepun, Atsushi Hanita ditempatkan oleh JFA di negara ini.
Tuan Yang Terutama seterusnya menzahirkan keinginannya untuk melihat lebih banyak kerjasama sukan dapat dijalankan antara rakyat di kedua-dua buah negara dan berharap sukan bola sepak di Negara Brunei Darussalam dapat diperkukuhkan pada masa hadapan.
