Fabien neretse berdepan hukuman mati

KIGALI (RWANDA), 20 DIS – Seorang bekas pegawai kanan Rwanda disabitkan bersalah kerana terlibat dalam genosid pada tahun 1994 dan berdepan hukuman mati, lapor agensi berita Anadolu.

Fabien Neretse dibicarakan di sebuah mahkamah di Brussels, Belgium pada November dan menjadi orang pertama yang akan disabitkan atas pertuduhan itu.

Saintis pertanian berusia 71 tahun itu turut disabitkan dengan “jenayah perang” selepas didapati terlibat melakukan 11 pembunuhan di Rwanda, di bawah undang-undang universal Belgium ia merupakan kesalahan serius, lapor media Belgium.

Tertuduh tidak memberikan sebarang reaksi sebaik hukuman dibacakan. Pendengaran hukuman untuk jenayah berasingan akan diadakan pada Jumaat.

Neretse dituduh mengarahkan pembunuhan 11 orang awam di Kigali dan dua di kawasan pedalaman di utara ibu negara dalam tragedi genosid yang mengorbankan lebih sejuta orang, terutamanya etnik Tutsis dan Hutus, dalam tempoh 100 hari .

Gambar fail pada 4 November 2019, Rwandais Fabien Neretse (kiri) bercakap dengan peguam belanya, Jean Flamme (tengah) dan Jean Pierre Jacques (kanan) pada hari pertama perbicaraannya di Istana Kehakiman di Brussels. – AFP

Mahkamah sebelum ini membebaskannya dengan dua tuduhan membunuh di Kigali tetapi mendapati beliau bersalah atas 11 jenayah perang.

Menurut pihak pendakwa, Neretse telah mengarahkan militan Hutu untuk menyembelih etnik Tutsis.

Neretse berasal dari daerah Rakenanda utara Gakenke. Antara 1989 dan 1992, beliau menjadi pengarah Lembaga Pembangunan Kopi Rwanda (OCIR-Café).

Beliau adalah bekas ahli parti pemerintah MRND pimpinan bekas Presiden Juvenal Habyarimana.

Semasa perbicaraan beliau menafikan terbabit dalam pembunuhan itu. Beliau ditahan pada 2011 di Perancis dan hidup sebagai pelarian.

Di bawah undang-undang 1993, mahkamah Belgium mempunyai bidang kuasa universal untuk mendakwa kesalahan genosid, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di mana sahaja ia berlaku. – Bernama