LONDON, 4 OGOS – Pemain tengah Liverpool, Fabinho menandatangani kontrak jangka panjang bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu, umum kelab tersebut kelmarin.
Pemain antarabangsa Brazil adalah pemain utama kedua dalam skuad Jurgen Klopp untuk melanjutkan kontrak di Anfield selepas Trent Alexander-Arnold menandatangani perjanjian baharu bulan lalu.
“Saya gembira untuk menyambung kontrak baharu bersama kelab,” Fabinho memberitahu liverpoolfc.com, dengan media Britain melaporkan kontrak tersebut sah sehingga permulaan kempen 2026/2027.
“Sejak bermulanya rundingan, saya merasa sangat positif mengenainya kerana itu yang saya mahukan – kekal bersama kelab, terus bermain untuk Liverpool. Kini ia sudah rasmi dan saya sangat gembira.
“Sejak tiga musim kebelakangan, saya merasa sangat gembira di sini. Banyak yang saya pelajari daripada pengurus, kesemua kakitangan dan rakan sepasukan saya.
“Kami mengecap kejayaan bersama dan bagi saya ini merupakan tempat terbaik untuk terus kekal, tempat terbaik untuk berkembang, untuk terus belajar dari kakitangan, dari rakan sepasukan. Saya berharap kami akan terus mengecap perkara baik.”
Kontrak terdahulu Fabinho bakal mansuh pada penghujung musim hadapan.
Pemain berusia 27 tahun ini menyertai Liverpool dari Monaco pada 2018 dan sejak itu memulakan 122 penampilan bersama Reds, membantu kelab Merseyside untuk memenangi trofi Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris. – AFP
