Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fabio capai rekod dunia penampilan terbanyak

    RIO DE JANEIRO, 20 OGOS – Penjaga gol Fluminense, Fabio pada Selasa mencatatkan rekod baharu bagi jumlah penampilan kompetitif terbanyak dalam bola sepak lelaki apabila pemain Brazil itu beraksi buat kali ke-1,391.
     
    Pemain berusia 44 tahun itu pada Sabtu lalu telah menyamai rekod yang dipegang oleh bekas penjaga gol England, Peter Shilton, namun Fabio melangkah setapak lebih jauh selepas membantu pasukannya meraih kemenangan 2-0 ke atas kelab Colombia, America de Cali di Stadium Maracana, Rio de Janeiro.
     
    Menurut Fluminense dan media Brazil, Fabio kini berdiri sendirian dalam sejarah bola sepak, walaupun Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mahupun badan serantau CONMEBOL belum mengiktirafnya sebagai rekod rasmi.
     
    “Kadang-kadang kita tidak menyedari betapa pentingnya pencapaian besar seperti memecahkan rekod ini, yang telah bertahan selama bertahun-tahun,” kata Fabio, yang sepanjang kariernya hanya bermain di Brazil, selepas mengekalkan rekod bersih dalam aksi timbal balik pusingan 16 terakhir Copa Sudamericana itu.
     
    Penyokong tuan rumah melaungkan sorakan, “Fabio penjaga gol terbaik di Brazil,” dan dia turut menerima plak peringatan bagi menandakan pencapaian tersebut.
     
    Fabio terjun untuk menahan bola semasa perlawanan suku akhir Piala Dunia Kelab FIFA 2025 antara Fluminense dari Brazil dan Al-Hilal dari Arab Saudi di Stadium Camping World, Orlando pada 4 Julai lalu. – AFP
    “Tiada siapa yang mampu beraksi sebanyak itu tanpa tahap profesionalisme seperti dirinya,” kata jurulatih Fluminense, Renato Gaucho.
     
    “Tidak diragukan lagi, dia akan terus bermain untuk tempoh yang lama.
     
    “Rekod ini sukar untuk diatasi oleh mana-mana pemain lain.”
     
    Fabio pernah menjulang Copa Libertadores bersama Fluminense pada 2023 dan merupakan sebahagian daripada skuad yang mara ke separuh akhir Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat musim panas ini.
     
    Sepanjang kariernya, dia membuat 976 penampilan bersama Cruzeiro antara 2005 hingga 2022, selepas terlebih dahulu bermain 30 kali untuk Uniao Bandeirante dan 150 perlawanan bersama Vasco da Gama.
     
    Penampilan rekodnya menentang America de Cali itu merupakan aksi ke-235 dia bersama Fluminense.
     
    Fabio memulakan kariernya pada 1997, tahun Shilton bersara.
     
    Legenda England itu menganggap jumlah penampilannya adalah 1,387, namun Rekod Dunia Guinness meletakkan angka tersebut pada 1,390. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda