Friday, September 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fabregas jurulatih baharu Como

    ITALI, 21 JULAI – Cesc Fabregas disahkan sebagai jurulatih Como Jumaat lalu sebelum kelab itu menandatangani bekas pemain pertahanan Sepanyol, Alberto Moreno menjelang musim Serie A pertama mereka dalam tempoh 21 tahun.

    “Como 1907 dengan sukacitanya mengesahkan bahawa Cesc Fabregas akan menjadi ketua jurulatih pasukan dengan kontrak empat tahun,” kata Como dalam satu kenyataan.

    Bekas pemain tengah Sepanyol, Fabregas, adalah pembantu kepada Osian Roberts ketika Como melayakkan diri secara automatik ke Serie A setelah mendahului liga musim lalu.

    Pemain berusia 37 tahun itu juga merupakan jurulatih sementara selama sebulan berikutan pemecatan Moreno Longo November lalu, tetapi tidak boleh mengambil alih tugas tetap sehingga dia mendapat lencana kejurulatihan yang diperlukan oleh badan induk Eropah, UEFA.

    Fabregas sebelum ini menguruskan pasukan remaja Como selepas bersara sebagai pemain musim panas lalu, dan telah lama dikhabarkan untuk mengambil alih pasukan utama sebuah kelab yang sesuai dengan pemasaran antarabangsa.

    Imej pasukan Como telah mula dikenali kerana lokasi terkenal mereka di Tasik Como di utara Itali yangs sedang sibuk pada musim panas ini dengan membawa masuk beberapa pemain baharu.

    Como yang akan menentang Juventus dalam perlawanan pembukaan musim Serie A akan datang, juga sedang memburu bekas pemain pertahanan Perancis, Raphael Varane. – AFP

    Gambar fail menunjukkan reaksi Fabregas semasa perlawanan bola sepak Liga Satu antara Marseille dan Monaco di stadium Velodrome, di Marseille, selatan Perancis pada 13 Januari 2019.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda