Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Fabrik sutera eksklusif dari tangkai teratai

    HANOI – Penenun Vietnam Phan Thi Thuan menarik sedikit seluarnya tatkala beliau meranduk dalam sawah teratai untuk mengumpul tangkai yang diperlukan untuk menghasilkan benang yang istimewa dan amat dicari-cari oleh sebahagian orang.

    Nenek saudaranya menghasil dan menjual sutera tradisional kepada Perancis semasa era pemerintahan jajahan, menuruni tekniknya kepada Thuan, yang mula menenun apabila dia berusia enam tahun di kampungnya di pinggir bandar Hanoi.

    Namun tiga tahun lalu, Thuan menemui peluang baharu dalam tangkai teratai yang dibiarkan reput di sawah berhampiran selepas biji telah diproses untuk dijadikan makanan.

    Dia mula mengeluarkan gentian yang didapati dalam tangkai untuk menghasilkan ‘sutera teratai’, fabrik eksklusif yang amat dicari-cari oleh pereka fesyen.

    “Saya merupakan orang pertama di Vietnam,” beritahu wanita berusia 65 tahun itu dengan bangga kepada AFP.

    Penenun Phan Thi Thuan mengumpul tangkai teratai sebagai sumber bahan mentah asli untuk suteranya, di sebuah kolam di Hanoi. – AFP
    Penenun mengeluarkan bahan mentah asli daripada tangkai teratai untuk diproses menjadi sutera di sebuah bengkel di Hanoi. – AFP

    “Saya memulakan proses secara sendirian, kemudian saya melatih mereka yang telah pun menyertai bengkel saya,” tambahnya.

    Petani sering bekerja keras berjam-jam lamanya untuk membersihkan tangkai yang reput dari sawah teratai, yang merosakkan tanah-tanih dan mengundang serangga yang tidak dikehendaki.

    Namun disebabkan usahanya, Thuan pada hari ini memimpin sekumpulan 20 pekerja wanita yang mematahkan tangkai dalam sawah teratai, sebelum mereka mengeluarkan gentian halus dan menggulungnya menjadi benang.

    Berpakaian sutera berwarna perang dan memakai rantai mutiara, pakaian yang sama dipakainya ketika dia memetik tangkai dalam sawah teratai, Thuan mula menceritakan kerjanya.

    Ia adalah proses yang cermat dan teliti – sehelai skarf besar memerlukan benang sejumlah kira-kira 9,200 tangkai teratai dan akan memerlukan masa dua bulan untuk seorang pekerja menyiapkannya – namun Thuan menegaskan ia adalah berbaloi.

    “Saya melihatnya sebagai tugas saya sekarang, untuk mewujudkan pekerjaan, dan melaksanakan tanggungjawab saya untuk alam sekitar,” kata beliau, menambah dalam tempoh sibuk, dia menggaji seratus pekerja untuk menenun dari rumah.

    Keuntungan adalah satu lagi sebab beliau bertahan.

    Sementara skarf sutera biasa mungkin dijual dengan harga AS$20, namun versi teratai lebih kecil – popular dalam kalangan pelancong sebelum koronavirus – dijual dengan harga lebih 10 kali ganda. Walaupun sutera teratai dihasilkan di beberapa negara – termasuk Myanmar dan Kemboja – Thuan dilihat sebagai perintis di Vietnam.

    Dia telah disokong oleh Kementerian Sains dan Teknologi, yang melancarkan projek tiga tahun peringkat negara untuk memajukan seterusnya teknik penghasilan.

    Thuan juga mengendali sesi latihan semasa cuti sekolah, berharap dapat menunjukkan kepada kanak-kanak bahawa terdapatnya ruang untuk kedinamikan walaupun dalam pekerjaan lama ini.

    Nguyen Thi Xoa, 40, dididik oleh Thuan pada 2017 dan sekarang dia mahu anaknya mengikut jejak langkahnya.

    “Pada mulanya, ia amat sukar, tetapi sekarang saya suka melakukannya,” katanya. “Ia adalah kerja yang stabil dan saya berasa bangga dengannya.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda