Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Facebook bayar AS$725 juta selesai kes privasi

    SAN FRANCISCO, 23 DIS – Facebook telah bersetuju untuk membayar AS$725 juta untuk menyelesaikan tindakan mahkamah berpanjangan yang menuduh rangkaian sosial itu membenarkan parti ketiga, termasuk Cambridge Analytica, mengakses data peribadi pengguna.

    Jumlah tersebut didedahkan dalam fail mahkamah lewat semalam.

    “Penyelesaian berjumlah AS$725 juta adalah yang terbesar pernah dibayar dalam kelas tindakan data privasi dan yang tertinggi dibayar Facebook untuk menyelesaikan tindakan kelas peribadi,” kata peguam untuk pihak plaintif dalam fail itu.

    Facebook belum mengaku melakukan sebarang kesalahan sebagai sebahagian daripada penyelesaian, yang masih perlu diluluskan oleh hakim di Mahkamah Daerah AS di San Francisco.

    Dilaporkan pada Ogos bahawa Facebook telah mencapai perjanjian awal, walaupun jumlah dan syarat-syarat penyelesaian tidak diumumkan.

    Tindakan guaman dilancarkan pada 2018, apabila pengguna Facebook menuduh rangkaian sosial itu melanggar peraturan privasi dengan berkongsi data mereka dengan pihak ketiga termasuk firma Britain, Cambridge Analytica, yang telah dikaitkan dengan kempen presiden Donald Trump pada 2016.

    Cambridge Analytica, yang telah ditutup sejak itu, seterusnya mengumpul dan mengeksploitasi data peribadi 87 juta pengguna Facebook tanpa kebenaran mereka, menurut tindakan mahkamah tersebut. – AFP

    Gambar fail menunjukkan Mark Zuckerberg bercakap di Universiti Georgetown di Washington. Facebook telah bersetuju untuk membayar AS$725 juta untuk menyelesaikan tindakan mahkamah membabitkan kes privasi. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda