WASHINGTON, 1 MAC – Seorang hakim persekutuan Amerika Syarikat (AS) telah mengarahkan Facebook supaya membayar AS$650 juta bagi menyelesaikan pertikaian mengenai isu kerahsiaan di antara syarikat gergasi media sosial dan 1.6 juta pengguna di negeri Illinois.
“Kami berasa gembira kerana berjaya mencapai satu penyelesaian supaya kami boleh mengambil tindakan seterusnya, yang merupakan kepentingan utama komuniti dan pemegang saham kami,” kata jurucakap Facebook dalam satu kenyataan kepada AFP.
Keputusan tersebut dikeluarkan pada Jumaat, menurut dokumen yang dilihat AFP semalam.
Wakil peguam Chicago, Jay Edelson menyaman Facebook pada 2015, mendakwa syarikat media sosial itu mengumpul data biometrik untuk mengenal pasti wajah yang melanggar undang-undang privasi Illinois 2008.
Pada akhir Januari 2020, Facebook bersetuju membayar AS$550 juta selepas ia gagal menyelesaikan tindakan guaman, yang difail sebagai satu tuntutan privasi pada 2018. Namun pada Julai 2020, hakim kes, James Donato, memutuskan jumlah tersebut adalah tidak mencukupi.
Semasa perbicaraan, Facebook didapati mencabul undang-undang Illinois dengan menyimpan data biometrik, imbasan digital pada wajah individu, dalam menyokong ciri-ciri pengesanan wajah, tanpa kebenaran pengguna.
Pada 2019, Facebook mencadangkan fungsi pengecaman wajah dijadikan satu pilihan untuk pengguna.
Menurut Donato, peraturan itu merupakan ‘satu keputusan bersejarah’ dan melambangkan ‘kemenangan besar untuk pengguna dalam bidang privasi digital.’
“Ia adalah penyelesaian terbesar untuk pencabulan kerahsiaan,” komen beliau, mendapati pihak menuntut masing-masing akan menerima sekurang-kurangnya AS$345 dalam bayaran pampasan. – AFP