Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Facebook, Google bina kabel bawah laut

    WASHINGTON, 30 MAC – Google dan Facebook telah melancarkan pelan pembinaan dua kabel data bawah laut baharu yang menghubungkan rantau Amerika Utara dan Asia Pasifik.

    Facebook berkata pada Ahad ia akan melabur dengan rakan mengenai kabel bawah laut dikenali sebagai Echo dan Bifrost untuk menghubungkan Singapura, Indonesia dan Amerika Utara, yang akan menambah kapasiti sebanyak 70 peratus.

    “Di seluruh dunia, pandemik COVID-19 telah menambah lagi keperluan untuk akses internet yang boleh dipercayai,” kata Facebook dalam blog baru-baru ini.

    “Echo dan Bifrost akan menyokong pertumbuhan seterusnya untuk ratusan juta orang dan jutaan perniagaan.”

    Google berkata semalam ia akan mengambil bahagian dalam pembinaan kabel Echo yang merentasi Eureka, California ke Singapura, ‘dengan perhentian di Guam’ dan sambungan ke Indonesia pada masa depan.

    “Echo akan menjadi kabel pertama yang menghubungkan AS ke Singapura dengan gentian berpasangan di laluan ekspres,” kata naib presiden Google Cloud Bikash Koley.

    Awal bulan ini, kedua-dua firma menggantung pembinaan kabel bawah laut yang menghubungkan California dan Hong Kong, disebabkan ketegangan di antara AS dan China.

    Dalam projek kabel baharu, Facebook berkata ia akan bekerjasama dengan rakan seperti syarikat Indonesia Telin dan XL Axiata dan Keppel dari Singapura.

    “Sementara projek masih tertakluk kepada kelulusan, apabila siap, kabel berkenaan akan menyediakan kapasiti Internet yang amat diperlukan,” kata Facebook. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda