Facebook hentikan sistem pengecaman wajah

PROVIDENCE, 3 NOV – Facebook berkata ia akan menutup sistem pengecaman wajah dan memadam data imbasan ke atas lebih 1 bilion orang di tengah kebimbangan semakin meningkat mengenai teknologi itu dan penyalahgunaan oleh kerajaan, polis dan pihak lain.

“Perubahan ini akan melambangkan salah satu peralihan terbesar dalam penggunaan pengenal pasti wajah dalam sejarah teknologi,” tulis Jerome Pesenti, naib presiden kecerdasan buatan untuk syarikat induk baharu Facebook, Meta, dalam catatan blog semalam.

Beliau berkata syarikat berusaha menimbang kes penggunaan positif untuk teknologi ‘berbanding isu sosial yang meningkat, terutamanya ketika badan pengawal selia masih belum mengeluarkan peraturan yang jelas.’ Syarikat itu akan memadamkan templat pengecaman wajah lebih satu bilion individu,” katanya.

Perubahan dasar itu akan menghentikan ciri yang secara automatik mengenal pasti individu yang muncul dalam gambar digital pengguna Facebook dan ciri yang juga kunci kepada usaha syarikat terebut untuk membangunkan koleksi sejagat wajah, iaitu ciri yang mencetuskan kontroversi.

Pesenti bagaimanapun tidak menjelaskan secara langsung mengapa perubahan itu diumumkan ketika syarikat sedang bergelut dengan laporan berdasarkan dokumen bocor yang mendakwa eksekutif syarikat tersebut mengetahui produk berkenaan boleh mendatangkan kemudaratan.

Penyokong privasi menyambut baik langkah tersebut tetapi ada yang bimbang ia sekadar usaha memperbaiki imej syarikat di tengah krisis perhubu-ngan awamnya baru-baru ini.

Lebih satu pertiga daripada pengguna aktif harian Facebook memilih untuk mengenal pasti wajah mereka oleh sistem rangkaian sosial itu. Ia berjumlah kira-kira 640 juta orang. Facebook memperkenalkan sistem pengecaman wajah lebih satu dekad lalu tetapi beransur-ansur menjadikannya lebih senang untuk membatalkan ciri tersebut tatkala ia berdepan pengawasan daripada mahkamah dan badan pengawal selia. – AP

Kelihatan logo Like terpampang di papan tanda ibu pejabat Facebook di Menlo Park, California pada 14 April 2020. – AP