Facebook labur AS$1 bilion untuk industri berita

CALIFORNIA, 25 FEB – Facebook, mengikuti jejak Google, mengatakan ia merancang untuk melabur AS$1 bilion untuk ‘menyokong industri berita’ dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Facebook sebelum ini telah berdebat dengan Australia mengenai undang-undang yang akan menjadikan platform media sosial membayar organisasi berita, mengatakan bahawa ia telah melabur AS$600 juta sejak 2018 dalam berita.

Google berkata pada bulan Oktober bahawa ia akan membayar penerbit AS$1 bilion selama tiga tahun.

Syarikat berita mahu Google dan Facebook membayar untuk berita yang muncul di platform mereka. Kedua-dua syarikat teknologi itu mendapat sebahagian besar iklan digital Amerika Syarikat (AS), yang telah menjejaskan penerbit.

Facebook mengatakan semalam bahawa pihaknya akan menarik balik larangan pautan berita di Australia setelah kerajaan bersetuju untuk mengubah undang-undang yang diusulkan yang akan membantu penerbit berunding bayaran dengan Facebook dan Google.

Facebook dikritik atas pengharaman tersebut, yang juga buat sementara waktu ini memutuskan akses ke laman kerajaan, kesihatan awam dan perkhidmatan kecemasan di laman sosial mereka.

Facebook berkata perubahan itu memungkinkannya untuk memilih penerbit mana yang akan disokongnya dan memberikan petanda ia akan mula memeterai perjanjian seumpama itu di Australia sekarang.

Google telah menandatangani perjanjian perlesenan isi kandungan dengan syarikat media Australia dan mengatakan bahawa ia mempunyai perjanjian dengan lebih daripada 50 penerbit di negara itu dan lebih dari 500 di seluruh dunia. – AFP

Logo Aplikasi Facebook dipaparkan pada telefon bimbit di Arlington, Virginia. Facebook berjanji untuk melabur sekurang-kurangnya AS$1 bilion untuk menyokong kewartawanan selama tiga tahun. – AFP