SAN FRANCISCO, 29 OKT – Facebook menukar nama syarikat induknya kepada ‘Meta’ semalam ketika syarikat teknologi itu berusaha berubah daripada sebuah rangkaian sosial yang dibelenggu skandal kepada sebuah syarikat dengan wawasan alam maya untuk masa depan.
Pertukaran nama itu diadakan ketika syarikat bergelut untuk mengatasi krisis paling teruk dan menumpukan cita-citanya untuk ‘metaverse,’ yang akan menggabungkan dunia fizikal dengan digital.
Facebook, Instagram dan WhatsApp – yang digunakan oleh berbilion-bilion penduduk di seluruh dunia – akan mengekalkan nama itu di bawah penjenamaan semula dalam apa yang digelar oleh pengkritik sebagai usaha untuk mengalih perhatian daripada kegagalan platform tersebut.
“Kami telah banyak belajar daripada bergelut dengan isu sosial dan hidup di bawah platform yang tertutup, dan sekarang sudah tiba masanya untuk mengambil segala yang telah kami pelajari dan membantu membina abad seterusnya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mark Zuckerberg semasa persidangan pembangunan tahunan.
“Saya berasa bangga untuk mengumumkan bahawa mulai hari ini, syarikat kami adalah Meta. Misi kami tetap sama, masih mengenai menyatukan semua orang, aplikasi dan jenama kami, semuanya tidak akan berubah,” tambah beliau.
Pengkritik mengecam penjenamaan tersebut, dengan kumpulan aktivis menggelar dirinya The Real Facebook Oversight Board berkata platform menjejas demokrasi sementara menyebar maklumat salah serta kebencian.
Bagaimanapun, Zuckerberg, dalam demonstrasi yang disiarkan lebih sejam menunjukkan beliau meninjau dunia alam maya, berkata wawasan syarikat adalah mengenai masa depan.
“Dalam tempoh satu dekad akan datang, Metaverse akan mencecah satu bilion orang, mencatat ratusan bilion perniagaan digital dan menyokong pekerjaan untuk jutaan pencipta dan pemaju,” kata beliau.
Facebook baru mengumumkan rancangan untuk menggaji 10,000 orang di Kesatuan Eropah untuk membangunkan ‘metaverse’, dengan Zuckerberg muncul sebagai promoter konsep berkenaan. Ia merujuk kepada idea alam maya dikongsi dan boleh diakses orang ramai yang menggunakan peranti berbeza. – AFP
